
Pemain Selangor FC 2 Muhamad Syahir Bashah (kanan) mengasak pemain JDT ll, Moussa Sidibe (kiri) dalam pelawanan Liga Premier 2022 di Stadium UiTM Shah Alam hari ini. Foto Bernama
JOHOR Darul Ta’zim II (JDT II) memahat sejarah baharu apabila merangkul trofi Liga Premier buat julung kali sejak kejohanan divisyen dua itu diperkenalkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 2004.
Pengesahan kejuaraan itu dinoktahkan setelah skuad bimbingan Mariano Echeverria menewaskan Selangor FC 2, 1-0 dalam saingan terakhir musim ini di Stadium UiTM, Shah Alam sebentar tadi.
Gol kemenangan skuad dari selatan tanah air itu dihasilkan pemain sensasi, Daryl Sham pada minit ke-49.
Menerusi kemenangan itu skuad Harimau Selatan mengumpul 42 mata hasil 13 kemenangan dan tiga seri.
Dalam pada itu, selepas mengharungi 18 aksi liga, penyerang sensasi Kuching City, Abu Kamara dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dengan 11 gol.
Pencapaian terbaik JDT II sebelum ini ialah apabila muncul naib juara Liga Premier pada 2019.
Kejayaan memenangi trofi itu menambah catatan sejarah gemilang JDT pada musim ini setelah skuad JDT III meraih kejuaraan Piala Presiden baru-baru ini.
Skuad utama, JDT pula berada di ambang menjulang trofi Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.
Biarpun musim 2022 belum berakhir, pemilik JDT Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui ini merupakan tahun yang gemilang buat skuad
Harimau Selatan di atas beberapa kejayaan yang diraih pasukan senior hingga ke junior.
“Kita telah memenangi sembilan trofi setakat ini dalam tahun 2022, dengan Akademi JDT menyumbang tujuh darinya, termasuk JDT III memenangi Piala Presiden
(B-21) buat pertama kalinya.
“Pasukan senior yang berjaya mencipta sejarah layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC pula dalam landasan mencipta rekod memenangi Liga Super buat
kali kesembilan, sesuatu yang saya percaya sukar untuk ditandingi. A triple hattrick! Ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku,” katanya,