JDT inspirasi KL City FC- Syed Yazid

JDT inspirasi KL City FC- Syed Yazid

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengerusi kelab Kuala Lumpur City (KL City) FC, Syed Yazid Syed Omar bertekad menjadikan gergasi bola sepak tanahair, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai sumber inspirasi untuk mengubah wajah pasukan warga kota itu.

Beliau yang mendapat perkenan mengadap pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim pada hujung bulan lalu akui terpegun dengan pembaharuan dilakukan hingga menjadikan skuad Harimau Selatan sebagai kelab profesional setanding Eropah.

“JDT bukan sahaja sebuah kelab bola sepak, tetapi lebih daripada itu. Ia membawa makna cukup besar buat bangsa Johor yang kini berbangga dengan kejayaan JDT apabila dikenali seluruh dunia.

“Saya terpegun dan berazam untuk cuba mengubah KL City secara perlahan-lahan dengan menjadikan JDT sumber inspirasi agar seluruh warga kota Kuala Lumpur pula berbangga.

“Bukan mudah sebenarnya untuk menguruskan kelab bola sepak, tetapi saya yakin jika JDT mampu melakukannya, mengapa tidak KL City ataupun pasukan-pasukan lain.

“JDT adalah contoh terbaik dalam negara dan kita semua perlu ubah cara pengurusan pasukan supaya tampil lebih profesional dan baik.

“Tunku Ismail ada berkongsi tips dan nasihat kepada saya. InsyaAllah saya akan lakukan sebaik mungkin demi memajukan bola sepak di KL dan Malaysia,” katanya kepada Arena Metro.

Musim ini, KL City dianggap antara pasukan paling dinantikan apabila ramai bintang tempatan dam import berjaya di bawa masuk.

Antaranya Safawi Rasid dan Syamer Kutty Abba yang dipinjamkan oleh JDT bagi musim 2025/2026 ini.

Selain itu, bekas penyerang berbisa Sri Pahang FC, Kpah Sherman turut memperkuatkan naib juara Piala AFC 2022 itu, sekali gus menyaksikan KL City memiliki banyak pilihan di jentera hadapan termasuk penjaring terbanyak pasukan, Paulo Josue.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top