JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali ke-10 apabila menewaskan Selangor FC 3-0 pada aksi Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu meraih tiga mata sulung bagi saingan Liga Super 2025/26.

Pemain JDT Jairo De Macedo Da Silva (tengah) meraikan jaringan gol pertama ketika menentang pasukan Selangor FC, pada perlawanan Sumbangsih 2025 bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. Foto Bernama
Bermula garang sebaik wisel permulaan, skuad Harimau Selatan itu hanya memerlukan seminit bagi membuka jaringan menerusi penyerang import baharu, Jairo Da Silva.

Pemain JDT Jairo De Macedo Da Silva meraikan jaringan gol pertama ketika menentang Selangor FC, pada perlawanan Sumbangsih 2025 bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. Keputusan penuh, JDT 3- 0 Selangor FC. Foto Bernama
Gol berpunca hasil lorongan cantik kapten, Samuel Castillejo yang menyaksikan Jairo mudah menolak masuk menewaskan penjaga gawang pelawat, Kalamullah Hafiz Mat Rowi bagi menggamatkan stadium.
Gol tersebut dilihat semakin menyemarakkan kesebelasan JDT untuk terus mengasak ke pintu gol lawan dan beberapa percubaan menerusi Jaoa Figuiredo dan pemain sayap lincah, Arif Aiman Hanapi.
Bagaimanapun, percubaan-percubaan tersebut gagal menepati sasaran selain berjaya diselamatkan penjaga gol.
Minit ke-34 menyaksikan JDT berpeluang menambah jaringan, namun percubaan Jairo hasil lorongan cantik Arif Aiman, Tinggi melewati palang gol.
Selangor FC berpeluang menyamakan kedudukan, namun rembatan penyerang import, Willian Lira pada minit ke-36, gagal menepati sasaran.
JDT sekali lagi berpeluang menambah jaringan pada minit ke-39, namun sepakan percuma Arif Aiman berjaya ditepis, Kalamullah Al Hafiz.
Hasil satu serangan Selangor FC hampir menjaringkan gol pemyamaan, namun rembatan penyerang import, Chrigor Morales pada minit ke-41 berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Pada penghujung babak pertama, JDT dilihat semakin hebat mengasak dalam usaha menambah jaringan, namun tiada sebarang tambahan jaringan berjaya dihasilkan.
Bersambung babak kedua, JDT dilihat bermula garang dan hampir menjaringkan gol kedua pada minit ke-50, namun percubaan jentera serangan skuad Harimau Selatan berjaya dikekang benteng pertahanan pelawat.
Minit ke-60 menyaksikan skuad Harimau Selatan itu sekali lagi berpeluang menambah jaringan, namun rembatan penyerang, Bergson Da Silva, berjaya ditepis Kalamullah Al Hafiz.
Bagaimanapun, Stadium Sultan Ibrahim sekali lagi bergema tiga minit kemudian apabila tonggak pertahanan, Eddy Israfilov menanduk masuk gol kedua JDT hasil sepakan sudut sepakan sudut Arif Aiman.
Minit ke-70 menyaksikan Arif Aiman pula mencatat nama selaku penjaring apabila larian solonya berjaya melepasi kawalan pertahanan Selangor FC sebelum merembat deras menewaskan Kalamullah Al Hafiz untuk gol ketiga JDT.
Biarpun selesa mendahului 3-0, namun jentera serangan skuad Harimau Selatan itu dilihat masih mengasak hebat ke gawang pelawat dalam usaha menambah jaringan.
Bagaimanapun, asakan-asakan berkenaan gagal menghasilkan sebarang jaringan untuk kedudukan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan.