JDT julang Piala Sumbangsih, bergaya ratah Gergasi Merah

JDT julang Piala Sumbangsih, bergaya ratah Gergasi Merah

rizar@mediaprima.com.my

Iskandar Puteri: Sejarah terus dicipta Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menjulang Piala Sultan Ahmad buat kali kelapan berturut-turut apabila menewaskan Selangor FC 3-0 dalam perlawanan sumbangsih yang juga pembuka tirai saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Malah kemenangan Harimau Selatan itu memberi impak positif buat pengendali baharu, Xisco Munoz yang memulakan tugasan pertama apabila berjaya membentuk taktikal ampuh bagi menewaskan skuad kendalian Katsuhito Kinoshi yang terpaksa akur kekalahan kepada juara liga 11 musim berturut-turut.

Sebaik babak pertama bermula, JDT tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit kedua selepas bola sepakan percuma kapten Sameul Castillejo melorongkan kepada Jonathan Silva yang melintangkan bola tepat kepada Jairo da Silva yang sekadar menampan bola menewaskan penjaga gol Selangor FC, Kalamullah Hafiz Mat Rowi.

Skuad kendalian Xisco Munoz terus rakus mengasak ke kubu Gergasi Merah dan pada minit ke-11 bola hantaran Arif Aiman Hanapi cuba disudahkan Joao Figueiredo namun sekadar melepasi palang gol ketika Kalamullah Al Hafiz tampak cemas menjaga gawang.

Malang buat Castillejo hanya mampu beraksi selama 25 minit apabila terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan dan Bergson da Silva di bawa masuk bagi menambah sengat di barisan serangan.

Anak didik Katsuhito Kinoshi yang tertekan dengan jaringan tunggal skuad Harimau Selatan itu berusaha memecah benteng ampuh tuan rumah namun gerakan yang cuba dilakukan sering tersekat di jarak 35 meter berhampiran kotak penalti apabila larian kapten Faisal Halim dan Willian Lira berjaya dipatahkan.

JDT hampir menambah jaringan pada minit ke-39 selepas sepakan percuma Arif Aiman dari jarak 35 meter menyaksikan Kalamullah terpaksa melayangkan badan bagi menepis bola keluar ketika bola menuju tepat ke penjuru kanan gol.

Serangan balas pantas Gergasi Merah selang dua minit kemudian mencemaskan gawang JDT apabila bola rembatan deras Chrigor Moraes yang menyusup masuk di posisi sayap kanan sebelum merembat bola leret menyaksikan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed terpaksa merebahkan badan untuk menangkap bola.

Bersambung babak kedua, JDT terus berusaha menambah jaringan namun pada minit ke-48 gerakan menarik Arif Aiman yang melambungkan bola tepat kepada Eddy Israfiov yang menanduk bola tapi sekadar melewati palang gol.

Ternyata corak permainan `berkampung’ Gergasi Merah pada babak kedua menyulitkan usaha Harimau Selatan yang tampak terkapai-kapai mencari ruang bagi menambah jaringan tatkala Bergson dan Jairo mati akal merobek gawang pasukan pelawat.

Benteng ampuh Selangor FC akhirnya roboh pada minit ke-64 selepas bola sepakan sudut Arif Aiman tepat kepada Israfilov yang melonjak tinggi untuk menanduk bola masuk walaupun diapit dua pemain pelawat namun masih mampu menewaskan Kalamullah.

Arif Aiman yang dikawal rapi sepanjang perlawanan mencetus kegembiraan lebih 30,000 penyokong JDT apabila meledak jaringan pada minit ke-72 selepas menerima bola umpanan Park Juen-hon dan Arif sempat memperdaya Kevin Deeromram sebelum merembat bola menewaskan Kalamullah dan kedudukan 3-0 yang memihak Harimau Selatan kekal sehingga tamat perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top