JDT julang trofi MPFL buat kali kedua berturut-turut

JDT julang trofi MPFL buat kali kedua berturut-turut
Pemain-pemain JDT meraikan kejayaan mengekalkan kejuaraan MPFL Divisyen 1 2025 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, Johor, pada Sabtu. Foto: FAM

Pemain-pemain JDT meraikan kejayaan mengekalkan kejuaraan MPFL Divisyen 1 2025 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, Johor, pada Sabtu. Foto: FAM

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan kejuaraan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) Divisyen 1 2025 meskipun tewas 5-8 kepada pencabar terdekat, Selangor FC, pada aksi terakhir liga di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, Johor, pada Sabtu.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan skuad kendalian Juan Miguel Antonio Garcia yang telah mengesahkan kejuaraan lebih awal selepas menumpaskan Sabah 4-1 di Kota Kinabalu minggu lalu.

Menutup tirai musim dengan penuh bergaya, JDT mengumpul 39 mata hasil 13 kemenangan dan satu kekalahan daripada 14 perlawanan dalam saingan format liga dua pusingan yang disertai lapan pasukan.

Selangor FC pula yang mengakhiri saingan sebagai naib juara dengan 36 mata, sekadar mengekori rapat di tangga kedua.

Pemain-pemain JDT meraikan kejayaan mengekalkan kejuaraan MPFL Divisyen 1 2025 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, Johor, pada Sabtu. Foto: FAM

Pemain-pemain JDT meraikan kejayaan mengekalkan kejuaraan MPFL Divisyen 1 2025 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, Johor, pada Sabtu. Foto: FAM

Kejayaan ini menjadikan JDT selaku juara berturut-turut MPFL selepas menjuarai edisi 2024, sekali gus menyamai pencapaian Selangor FC yang pernah menjuarai liga pada musim 2019 dan 2022.

Majlis penyampaian trofi, pingat serta hadiah wang tunai RM50,000 kepada skuad Harimau Selatan disempurnakan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman, dengan diiringi Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai FAM.

Pada majlis sama, pemain import JDT, Bruno Taffy diumumkan sebagai Pemain Terbaik MPFL Divisyen 1 2025, manakala penjaga gol pasukan sama, Azrul Hadee Taufiq dinobatkan Penjaga Gol Terbaik.

Penyerang import Selangor FC, Vitor Fernandes pula merangkul anugerah Penjaring Terbanyak musim ini hasil ketajaman penyudah sepanjang kempen.

Taffy dan Azrul masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000, manakala Fernandes menerima RM3,000 sebagai ganjaran prestasi cemerlang mereka.

Enam pasukan teratas MPFL Divisyen 1 2025 bersama juara dan naib juara MPFL Divisyen 2 akan layak beraksi dalam Piala Futsal Malaysia (MFC) 2025, yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 23 Ogos depan.

Scroll to Top