sukan@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) menempah tempat ke final Piala Malaysia selepas membenam Kuala Lumpur City (KL City) 4-1 di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus melangkah dengan agregat 8-1.
Bergson da Silva menjadi watak utama dengan dua gol, manakala Syahmi Safari dan Ajdin Mujagic masing-masing menyumbang satu gol untuk melengkapkan kemenangan bergaya Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz.
JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-49 menerusi tandukan Bergson hasil hantaran lintang Felipe, sebelum Syahmi menggandakan kedudukan dua minit kemudian selepas menyudahkan bola muntah daripada sepakan lambung Nacho Mendez yang gagal ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Hafizul Hakim Khairul Nizam.
Bergson kemudian menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-58 apabila melepasi dua pemain lawan sebelum melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti yang terus menewaskan Hafizul Hakim.
KL City kendalian Risto Vidakovic merapatkan kedudukan pada minit ke-67 menerusi tandukan kapten Giancarlo Gallifuoco hasil sepakan sudut Zhafry Yahya yang tidak dikawal.
Namun, JDT terus mengukuhkan dominasi apabila pemain gantian Mujagic menoktahkan kemenangan pada minit ke-88 dengan penyudah kemas dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Mendez.
Pada babak pertama, JDT turut beberapa kali mengancam termasuk sepakan penalti Bergson yang terkena palang serta percubaan Teto Martin yang berjaya dinafikan Hafizul Hakim, namun jaringan hanya hadir selepas rehat sebelum mereka mengesahkan kemenangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




