JDT ke pentas final Piala FA musim keempat berturut-turut

JDT ke pentas final Piala FA musim keempat berturut-turut

rizar@mediaprima.com.my

Iskandar Puteri: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menempah tiket ke pentas final musim keempat berturut-turut apabila membenam Kuching City FC dengan agregat 4-1 selepas menang 2-0 dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Xisco Munoz akan berdepan sama ada Selangor FC atau Sabah pada aksi final yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 14 Disember ini.

Sebaik babak pertama bermula, tuan rumah menghadirkan detik mencemaskan buat benteng skuad The Cats pada minit kedua apabila bola umpanan Afiq Fazail menyaksikan Heberty Fernandes bertindak merembat bola leret memaksa penjaga gol, Haziq Nadzli merebahkan badan untuk menepis bola keluar.

Sekali lagi Haziq menjadi penyelamat bagi memastikan gawang Kuching City FC tidak bolos pada minit ke-15 apabila merebahkan badan untuk menangkap bola percubaan daripada Teto Martin yang menerima bola lorongan La’Vere Corbin-Ong.

Akhirnya gawang skuad The Cats bolos pada minit ke-25, bermula dengan bola lambungan Oscar Arribas ditanduk oleh Corbin yang membuka ruang buat Bergson da Silva di dalam kotak penalti, pantas merembat bola kencang menewaskan Haziq untuk meletakkan JDT mendahului 1-0 dan selesa dengan agregat 3-1.

Berbaki lima untuk ditamatkan pada babak pertama, Harimau Selatan hampir menambah jaringan namun bola rembatan leret Eddy Israfilov di luar kotak penalti sempat ditepis keluar Haziq bagi memastikan gawangnya tidak dibolos.

Bersambung babak kedua, walaupun Arribas menjaringkan gol pada minit ke-46 namun pengadil, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli yang melakukan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan kekasaran yang dilakukan Bergson terhadap Scott Woods dan membatalkan jaringan JDT.

Heberty yang menerima bola umpanan Nacho Mendez terlepas peluang menambah jaringan pada minit ke-61 selepas bola rembatan leret di luar kotak penalti berjaya ditepis Haziq yang begitu cemerlang mengawal gawangnya daripada terus dibolosi.

Walaupun skuad kendalian Aidil Sharin Sahak sering diasak oleh JDT namun pada minit ke-76 berpunca daripada bola hantaran jauh Moses Atede menyaksikan Joao Pedro pantas menyusup masuk ke dalam kotak penalti apabila berjaya mengatasi Jonathan Silva sebelum merembat bola tapi penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah bersedia untuk menghalang.

Memasuki minit ke-82, anak buah Munox melenyapkan sisa perjuangan skuad The Cats apabila Samuel Castillejo bertindak pantas mengumpan bola menyaksikan Israfilov meluru untuk menampan menewaskan Haziq bagi meletakkan JDT selesa 2-0 dan dengan agregat 4-1 sekali gus memastikan Harimau Selatan bakal mengaum di Bukit Jalil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top