JDT mara bergaya ke separuh akhir, MFC raih gol sagu hati menarik

JDT mara bergaya ke separuh akhir, MFC raih gol sagu hati menarik

sukan@hmetro.com.my

Melaka: Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Melaka FC (MFC) 3-1 pada perlawanan kedua suku akhir di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Kemenangan itu membolehkan juara bertahan itu mengatasi MFC dengan agregat 8-1 selepas mereka menang 5-0 pada pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Pelawat tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila pemain kebangsaan, Cobin Ong meledakkan gol pertama seawal minit ketujuh, selepas menerima hantaran Jairo Da Silva.

Biarpun MFC cuba melawan, kubu pelawat nyata kukuh untuk tidak membenarkan anak buah E Elavarasan mencipta jaringan.

Sebaliknya, JDT menambah gol kedua pada minit ke-30 apabila Jairo menyudahkan hantaran Joao Figueiredo.

Bersambung babak kedua, Jairo lagi meledak gol kedua peribadinya apabila menanduk masuk gol ketiga JDT pada minit ke-54.

Jaringan sagu hati MFC diraih menerusi sepakan gunting pemain import dari Mesir, Ahmed Shamsaldin pada minit akhir perlawanan dan jelas, penyokong tuan rumah berpuas hati dapat menembusi gawang JDT.

Di separuh akhir awal April ini, JDT akan berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC yang terlebih dulu mara selepas menewaskan Terengganu FC (TFC).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top