JDT memasuki fasa peralihan, lebih segar tapi falsafah sama

JDT memasuki fasa peralihan, lebih segar tapi falsafah sama

PETALING JAYA: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail mengakui Harimau Selatan kini memasuki fasa baharu dengan wajah lebih segar selepas tiga musim mencatatkan rekod luar biasa tanpa kalah dalam saingan Liga Super.

Dalam satu perkongsian panjang di media sosial, baginda menjelaskan perubahan besar yang berlaku dalam skuad musim ini termasuk melibatkan pemain dan jurulatih, adalah sebahagian daripada proses transisi yang sudah dirancang sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Tunku Mahkota Ismail, setiap era kejayaan memerlukan pembaharuan agar pasukan terus relevan, kompetitif dan tidak sekadar bergantung kepada rekod lama.

“Dengan jurulatih baru, sistem baru, dan 70 peratus pemain baru. Kalau kita tengok dalam ‘first 11’ (kesebelasan utama) pada hari ini, 80 peratus pemain baru. Jadi, ini secara dasarnya adalah pasukan baru.

“Macam mana yang saya katakan, Alhamdulillah selepas kejayaan rekod tanpa kalah tiga tahun berturut-turut, rekod-rekod itu tidak akan boleh kami lakukan lagi, saya cakap. Itu adalah yang terbaik, lebih 100 gol dijaringkan, rekod tanpa kalah, menjaringkan banyak gol, dan juga jumlah gol yang kita bolos pun sangat sedikit.

“Tetapi, kita juga kena tengok berdasarkan dengan fakta, mengapa? Macam mana kita boleh mencapai hasil tertentu itu? Keputusan tersebut adalah kerana apa yang kami lakukan 2018, 2019, barulah hasil dia datang kepada 2021, 2022, dan 2023. Itu pandangan saya,” kata Tunku Mahkota Ismail.

Menurut baginda, asas kejayaan lalu datang daripada proses peremajaan skuad yang bermula seawal 2018 dengan penggantian pemain senior serta pembaharuan dalam kaedah kejurulatihan.

Langkah itu, menjadi titik tolak kepada kebangkitan JDT sehingga kelab berkenaan berjaya mendominasi pentas bola sepak tempatan, malah mencatat sejarah tersendiri di peringkat Asia.

“Kerana pada 2018, kita buat satu peralihan di mana ada pertukaran beberapa pemain, masukkan pemain yang lebih muda, pemain senior pergi dan juga kaedah kejurulatihan serta barisan jurulatih yang baru. Namun begitu, falsafahnya masih sama.

“Kemudian kita beralih kepada Tano Solari, dan selepas itu kita beralih kepada Hector Bidoglio. Jadi, kita dapat lihat konsistensi pasukan di situ kerana persiapan awal yang telah kami lakukan sejak 2018. Namun, pada masa sama juga, kita perlu sedar apa yang telah kami capai pada musim lalu.

“Bagi saya, itu sebenarnya bernasib baik, bukan semata-mata kerana JDT bagus, tetapi juga kerana pasukan-pasukan lain sedang berdepan krisis kewangan.

“Jadi, memang pasukan kita hebat, tetapi semangat pemain di pasukan lain ketika hujung musim agak berkurangan. Itu sebabnya kita berjaya mengekalkan status tanpa kalah untuk tahun ketiga berturut-turut,” katanya.

Baginda turut menegaskan tahun ini adalah permulaan kepada peralihan baharu dengan membabitkan pertaruhan besar terhadap pemain muda, namun tetap mengekalkan beberapa tonggak senior sebagai tunjang pengalaman.

“Tetapi sekarang, saya sudah maklumkan kepada kelab bahawa selepas tahun ketiga mengekalkan skuad yang sama, kita perlu memasuki satu fasa peralihan baharu di mana kita perlahan-lahan melepaskan pemain senior dan mengambil pemain muda sebagai perancangan jangka masa panjang kelab. Jadi, inilah yang berlaku pada tahun ini.

“Jurulatih yang lebih muda, falsafah yang sama tetapi ditambah baik dengan kaedah latihan dan teknologi terkini, serta kehadiran pemain-pemain baharu. Kalau kita lihat, kita ada gabungan pemain senior dan pemain muda. Jadi, inilah tempoh peralihan.

“Selain itu, ada juga beberapa pemain senior yang kami lepaskan daripada kelab. Setiap kali kita melalui satu transisi, pasti akan ada turun naik. Ia bukanlah satu proses yang lancar sahaja kerana ia melibatkan perubahan.

“Alhamdulillah, rezeki kita selama ini, setiap kali menukar jurulatih dalam tempoh 12 tahun kebelakangan ini, kita tetap berjaya mengekalkan prestasi dan keputusan pasukan. Itu hasil kerja keras serta perancangan yang teliti.

“Tetapi dalam perubahan kali ini, apabila kita mahu membentuk skuad lebih muda pada masa depan, kita masih perlukan beberapa pemain senior untuk memainkan peranan sebagai pemimpin serta memberikan pengalaman. Namun secara perlahan-lahan, pemain muda inilah yang akan mengambil alih sebagai tonggak senior,” jelasnya.-UTUSAN

Scroll to Top