sukan@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih bekalan selesa selepas menjinakkan kelab Liga 1 Jepun (Liga J1), Sanfrecce Hiroshima 3-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Skuad kendalian Xisco Munoz dilihat selesa untuk mara ke suku akhir, namun perlu mengharungi baki 90 minit perlawanan apabila berdepan Sanfrecce Hiroshima di Stadium Bolasepak Hiroshima pada aksi timbal balik, 11 Mac ini.
JDT menguji benteng pelawat seawal minit ketiga selepas bola umpanan Raul Parra membuka ruang buat Joao Figuieredo untuk menggelecek Kim Ju-sung sebelum merembat bola kencang, namun penjaga gol, Keisuke Osako bingkas menepis bola keluar.
Skuad kendalian Bartosch Gaul meraih peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-14, namun sepakan percuma Hayao Kawabe dihalang benteng JDT.
Gerakan pantas JDT pada minit ke-17 yang dimulakan Oscar Arribas selepas mengumpan kepada Nacho Mendez belum mampu merobek gawang Sanfrecce Hiroshima.
Pada minit ke-24, Munoz terpaksa membuat rombakan kecil di posisi tengah selepas kapten, Natxo Insa terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan Ager Akexte dimasukkan bagi mengimbangi posisi berkenaan.
Pada minit ke-26, Sanfrecce Hiroshima beraksi dengan 10 pemain selepas Ju-sung dilayangkan kad kuning kedua dan kemudian kad merah oleh pengadil, Shaun Evans akibat mengasari Rui Filipe.
Di penghujung babak pertama, tiang gol kanan sekali lagi menjadi penghalang untuk JDT mencipta jaringan selepas tandukan Figuiredo terkena tiang ketika Osako terkaku di gawang sendiri.
Akhirnya gol dinanti menjelma pada minit ke-51 berpunca daripada bola umpanan Mendez menyaksikan Aketxe yang tidak dikawal pantas melencongkan bola tepat ke penjuru kanan gawang untuk meletak JDT mendahului 1-0.
JDT menambah gol pada minit ke-63 selepas bola umpanan Eddy Israfilov tepat kepada pemain gantian, Bergson da Silva yang merembat masuk menjadikan kedudukan 2-0, sekali gus menggembirakan lebih 31,000 penyokong Harimau Selatan.
Stadium Sultan Ibrahim bagaikan berpesta menyambut jaringan ketiga JDT pada minit ke-85 menerusi rembatan Guilherme yang melencongkan bola tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Osako.
Namun selang seminit kemudian anak buah Gaul mengurangkan desifit jaringan selepas Hayato Araki pantas merembat bola leret menewaskan Zubiaurre, menjadikan kedudukan 3-1.
© New Straits Times Press (M) Bhd




