JDT 'mendonia', pintas LA Galaxy, Besiktas dan Stoke City

JDT 'mendonia', pintas LA Galaxy, Besiktas dan Stoke City

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan status mereka sebagai kuasa besar bola sepak Asia apabila kini berada di kedudukan kelapan terbaik benua ini.

Perkembangan membanggakan itu dikongsikan kelab berkenaan selepas statistik rasmi dikeluarkan laman bola sepak terkemuka, Opta Power Ranking.

Berdasarkan laporan terbaharu Opta, skuad bimbingan Xisco Munoz melonjak tujuh anak tangga daripada kedudukan terdahulu untuk menduduki tangga ke-207 dunia ketika ini.

Pencapaian itu menyaksikan Harimau Selatan berjaya meninggalkan nama besar seperti Estudiantes, Stoke City, Lokomotiv Moscow, Velez Sarsfield, Indepediente, Besiktas, LA Galaxy, Las Palmas serta Empoli.

Kedudukan itu sekali gus mengesahkan JDT sebagai pasukan nombor satu Asia Tenggara, mengatasi pencabar terdekat mereka, Buriram United dari Thailand yang kini berada di tangga ke-33 Asia.

Hanya tujuh kelab berada di hadapan JDT di benua Asia, terdiri daripada gergasi Arab Saudi iaitu Al Hilal, Al Nassr, Al Ahli dan Al Ittihad yang mendominasi empat teratas.

Tiga lagi pasukan ialah wakil dari Jepun yang berada di tangga kelima, keenam dan ketujuh iaitu Sanfreece Hiroshima, Vissel Kobe dan Machida Zelvia.

Menariknya, ketiga-tiga kelab itu juga adalah lawan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini.

Lebih manis, kedudukan ini turut menutup mulut pengkritik yang sering mempertikaikan kemampuan kelab dari Malaysia untuk bersaing dengan kelab elit Asia.

Berdasarkan senarai Opta, tiada lagi kelab dari Malaysia berada dalam kelompok 1,000 terbaik dunia.

Selangor FC menduduki tangga ke-1,040, Terengganu FC di 1,581, manakala Sabah FC (1,809) serta KL City FC (2,056).

Kejayaan JDT ini jelas mengukuhkan lagi dominasi mereka bukan sahaja di pentas domestik, malah semakin disegani di peringkat Asia dengan reputasi yang kian meningkat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top