JDT ‘ratah’ Sarawak United

JDT ‘ratah’ Sarawak United

PETALING JAYA: Meskipun masih berduka selepas kehilangan ketua jurulatih Benjamin Mora namun aksi diperagakan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menunjukkan sebarang ‘kecacatan’ selepas berjaya menewaskan Sarawak United 4-0 pada aksi Liga Super sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Negeri, Kuching itu, skuad JDT turun buat kali ketiga tanpa kelibat Mora yang secara rasmi meninggalkan skuad Harimau Selatan secara rasmi berkuat kuasa hari ini.

JDT gah mendominasi saingan pada babak pertama hasil ledakan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-13 dan Bergson da Silva (m-20).

Bersambung pada babak kedua, tuan rumah cuba untuk bangkit tetapi gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan pasukan pelawat.

Sebaliknya, juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu terus ghairah menambah gol dan berjaya meledak jaringan ketiga menerusi rembatan Syahmi Safari pada minit ke-79 sebelum Fernando Foriesteri melengkapkan kemenangan bergaya apabila menyudahkan sepakan penalti pada masa kecederaan.

 

Keputusan tersebut menyaksikan JDT terus gah mendahului carta Liga Super dengan mengutip 32 mata selepas mengharungi 12 perlawanan.- UTUSAN ONLINE