rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengesahkan ayam tambata pasukan itu, Arif Aiman Hanafi tidak akan beraksi pada perlawanan getir suku akhir Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Jeddah, Arab Saudi, 17 April ini.
Munoz berkata, beliau enggan mengambil risiko selepas pemain sayap lincah itu masih dalam proses pemulihan dan belum mencapai tahap terbaiknya.
“Ada perkhabaran positif yang ingin saya sampaikan, Arif Aiman sudah mula menjalani latihan. Ini satu perkembangan yang sangat baik buat pasukan.
“Namun begitu, perkara paling penting sekarang adalah memastikan dia kembali pada tahap 100 peratus kecergasan. Semua pihak pastinya mahu melihatnya kembali beraksi, tetapi kami tidak boleh mengambil risiko dengan tergesa-gesa.
“Arif Aiman adalah pemain istimewa dan antara yang terbaik di Asia. Oleh itu, dia perlu diberikan masa secukupnya, sokongan penuh serta penjagaan terbaik sepanjang proses pemulihan ini dan kembali pada tahap terbaik,” katanya.
Pemain paling bernilai (MVP) bagi empat musim berturut-turut itu mengalami kecederaan hamstring yang memaksanya berehat panjang sejak November 2025.
Menurut Munoz, proses pemulihan yang dilalui Arif Aiman menunjukkan tanda positif, namun kelab enggan mengambil jalan pintas semata-mata mahu mendapatkan khidmatnya untuk aksi suku akhir ACLE.
Katanya, pemain sayap itu bekerja keras sepanjang tempoh pemulihan Kira-kira empat ke lima bulan lalu namun mustahil akan kembali bersama pasukan dalam masa terdekat.
“Kalau tanya saya, sudah lama saya menagih Khidmatnya namun kita boleh pentingkan diri sendiri. Kita perlu bagi ruang untuknya pulih sepenuhnya agar tiada kecederaan berulang.
“Dari segi ‘timing’, ia agak mustahil untuk dipercepatkan. Kecederaan memerlukan tempoh pemulihan yang tepat, mungkin makan masa lima atau enam minggu lagi dan kami tidak boleh berkompromi dalam hal ini,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



