sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan Antonio Glauder sebagai rekrut pertama mereka bagi menghadapi saingan musim depan.
Berita ketibaan tonggak pertahanan berusia 29 tahun dari Sepanyol itu diumumkan JDT menerusi laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini.
“Kami mempunyai benteng baharu di bahagian pertahanan! Selamat datang ke Johor Darul Ta’zim FC, Antonio Glauder,” tulis kelab itu beserta video ringkas memaparkan Glauder berada di Stadium Sultan Ibrahim.
Menerusi gambar yang dikongsikan di laman sama menunjukkan Glauder menyarung jersi ‘nombor 5’ yang sebelum ini dipakai kapten Harimau Selatan, Jordi Amat.
Situasi berkenaan seakan memberi bayangan bahawa Amat yang juga pemain di bahagian pertahanan tidak akan bersama juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu untuk musim depan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi mengenai status Amat bersama skuad Harimau Selatan.
Untuk rekod, Glauder pernah beraksi beberapa kelab Sepanyol termasuk Fuenlabrada, Eibar, Albacete dan Cadiz.
© New Straits Times Press (M) Bhd