JDT sedia benam Sabah FC

JDT sedia benam Sabah FC

rizar@mediaprima.com.my

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu mengekalkan momentum kemenangan apabila melayani kunjungan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, di sini, malam esok.

Skuad kendalian Benjamin Mora sebelum ini meraih empat kemenangan untuk mengutip 12 mata dan sekali gus menghimpun 42 mata serta menduduki puncak liga. Mereka kini memburu kemenangan kelima berturut-turut bagi terus mengukuhkan penguasaan.

Apapun, pengendali kelahiran Mexico itu tetap berhati-hati dengan corak taktikal skuad Badak yang kini di tangga ketujuh liga dan tampak konsisten selepas dua perlawanan terakhir terikat 0-0 menentang Terengganu FC dan Kuala Lumpur FC (1-1).

Mora tidak menafikan barisan pemainnya tampak keletihan selepas mengharungi jadual aksi padat dan ia terbukti ketika menang 1-0 ke atas Melaka United FC (MUFC) apabila pemain JDT bagaikan bergelut mengharungi 90 minit perlawanan.

“Mereka begitu kepenatan pada aksi menentang Melaka United tapi mereka tetap beri persembahan terbaik untuk menang. Melayani kunjungan Sabah FC, kami tetap memburu tiga mata.

“Kami enggan tercicir mata, walaupun pernah menang 4-1 pada aksi 6 April lalu tapi malam esok kami tetap berhati-hati” katanya.

Mora berkata pemain JDT harus berwaspada dengan taktik permainan Sabah FC terutama Mohd Amri Yahyah yang bijak menggunakan helah sekiranya berjaya mendapat sepakan percuma di luar kotak penalti.

Seandainya JDT mencipta kemenangan ke atas Sabah, kejuaraan liga tampak semakin hampir menggamit pasukan itu ketika saingan liga berbaki lima perlawanan lagi untuk menoktahkan kejuaraan musim kelapan berturut-turut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top