Jeda Derita jentik emosi Liza Hanim

Jeda Derita jentik emosi Liza Hanim

am@hmetro.com.my

Penyanyi tersohor negara, Liza Hanim, 46, kembali dengan lagu baharunya yang bergenre balada berjudul Jeda Derita iaitu single kedua bersama Alternate Records selepas Sejuta Maaf.

Lagu baharu ini turut menjadi runut bunyi (OST) drama Akasia TV3, Sumpah Ibuku yang menampilkan kolaborasi istimewa antara Liza dan penyanyi popular, Tomok yang bertindak sebagai komposer manakala Fedtri Yahya penulis lirik.

Mengangkat tema kesetiaan dalam penderitaan serta pergolakan jiwa seorang wanita yang dikhianati, Jeda Derita hadir dengan alunan melodi meruntun perasaan, diperkukuh dengan lontaran vokal bertenaga daripada Liza Hanim.

Fedtri berkata, lirik lagu itu dihasilkan selepas memahami sepenuhnya perjalanan watak dalam drama terbabit.

“Saya perlu selami setiap jiwa dan derita watak bagi memastikan impak emosinya selari dengan jalan cerita,” katanya.

Bagi Tomok, kekuatan lagu ini terletak pada keseimbangan antara melodi, lirik dan penghayatan Liza.

“Yang membuatkan lagu ini ‘hidup’ adalah cara Liza menyampaikannya.

“Dia menangis ketika rakaman kerana terlalu menghayati setiap bait-bait lirik,” katanya.

Liza mengakui, peluang untuk menyanyikan lagu itu adalah satu penghormatan besar buat dirinya.

“Saya sangat menghargai kepercayaan produksi dan label. Lebih bermakna apabila dapat bekerjasama dengan Tomok. Ini satu titik perubahan buat saya,” katanya.

Rakaman vokal mengambil masa kira-kira dua jam setengah selepas ditunda dua kali akibat masalah kesihatan. Namun, sesi itu menjadi saat paling beremosi buat Liza.

“Saya minta Tomok padamkan lampu studio untuk dapatkan ‘mood’. Walaupun saya jarang menangis, air mata tetap mengalir kerana lagu ini sendiri membawa rasa kecewa dan kelelahan,” kongsinya.

Menurut Liza, walaupun proses rakaman tidak lama, namun penghasilan lagu itu memerlukan penghayatan mendalam terhadap kisah drama berkenaan agar emosi dapat disampaikan dengan jujur.

Liza turut memuji potensi Tomok sebagai komposer dan penerbit.

“Dari seorang penyanyi, kini dia ahli perniagaan, komposer dan penerbit yang tahu apa yang diinginkan. Itu memudahkan penyanyi mengekalkan karakter vokal,” katanya.

Liza berkongsi, karya itu sarat dengan jiwa kerana ia terhasil daripada perjalanan panjang persahabatannya bersama Tomok.

“Saya percaya sesiapa yang mendengarnya akan merasai tangisan, kelelahan dan jeda dalam penderitaan yang ingin disampaikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top