Bangkok: Pemain nombor satu dunia, Jeeno Thitikul menjuarai kejohanan Honda LPGA Thailand di laman sendiri, hari ini selepas mencatat keseluruhan 24 bawah par, satu pukulan mengatasi pemain Jepun, Chizzy Iwai.
Pemain Thailand berusia 23 tahun itu memulakan hari terakhir dengan kelebihan dua pukulan sebelum mengesahkan kemenangan di Siam Country Club Old Course, Pattaya.
Jeeno mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan dengan mencatat tujuh birdie pada pusingan kedua dan ketiga, lima pada pusingan pertama serta enam lagi pada hari terakhir.
“Bagi saya, menang di negara sendiri sangat bermakna,” katanya.
Menurutnya, ibunya tidak dapat menahan air mata sejurus tamat pusingan terakhir.
“Saya beritahu ibu, akhirnya saya menang di depan ibu. Ibu ada bersama saya,” katanya yang turut sebak mengenangkan detik berkenaan.
Satu-satunya eagle yang diraih Jeeno hadir pada par lima pada Jumaat, hari sama dia menyambut ulang tahun kelahiran ke-23.
Kemenangan itu juga menjadikannya pemenang lapan gelaran Jelajah LPGA.
Iwai sebelum itu berkongsi kedudukan bersama dua pemain lain menjelang pusingan akhir di belakang pemain Korea Selatan, Hyo Joo Kim yang menamatkan saingan di tempat ketiga.
Jeeno kini muncul juara Thailand ketiga dalam sejarah kejohanan berkenaan selepas Patty Tavatanakit pada 2024 dan Ariya Jutanugarn pada 2021.
Ariya menamatkan saingan edisi kali ini di tempat kelapan bersama dengan catatan 18 bawah par.
Kejohanan di Pattaya itu membuka tirai siri jelajah Asia LPGA yang akan diteruskan di Singapura minggu ini sebelum beralih ke China dari 5 hingga 8 Mac.
© New Straits Times Press (M) Bhd




