Kuala Lumpur : Filem Road To Vendetta sentuhan penulis dan pengarah berbakat Hong Kong, Njo Kui Ying menjadi antara naskhah yang pasti ditunggu-tunggu peminat genre aksi.
Projek ini dibangunkan dengan penuh ketelitian selama hampir tujuh tahun, menjadikan setiap aspek penceritaan, visual dan aksi dirangka secara halus dan mendalam.
Malah ia mendapat perhatian ramai apabila menggabungkan produksi Hong Kong dan Jepun.
Selain pembabitan teraju utamanya, Jeffrey Jeffery dalam filem yang ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 11 Disember lalu.
Jeffrey atau pemilik nama Jeffrey Ngai Tsun-sang, 27, juga sering menjadi tumpuan ramai kerana wajahnya dikatakan mirip bintang Hong Kong awal 2000-an, Edison Chan.
Di samping menjadi simbol kebangkitan bakat baharu, Jeffrey turut membawa energi segar ke dalam dunia filem aksi moden Asia.
Bagi menyokong pelancaran filem tersebut, Jeffrey turut berada di Kuala Lumpur pada hari tayangan perdana untuk menghadiri acara pelancaran, sekali gus memulakan siri jelajah promosi.
Menariknya ia adalah penampilan pertama Jeffrey dengan watak utama di layar perak.
Road To Vendetta hadir dengan reputasi hebat apabila menerima lima pencalonan di Golden Horse Awards ke-62, termasuk Reka Bentuk Aksi Terbaik, Kesan Bunyi Terbaik, Kesan Visual Terbaik, Arah Seni Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik — pengiktirafan terhadap kualiti pembikinan, koreografi aksi, serta mutu produksi filem ini.
Jeffery bergandingan dengan pelakon muda Jepun terkenal, Sara Minami, yang dikenali menerusi lakonannya dalam Nevertheless: The Shape of Love dan From Me to You: Kimi ni Todoke.
Jeffery sendiri pernah membintangi filem seperti Cesium Fallout bersama Andy Lau dan Little Red Sweet bersama Simon Yam, menjadikannya salah seorang bakat baharu paling menyerlah dalam industri.
Dalam filem tersebut, watak mereka bermula sebagai orang asing yang disatukan melalui urusan pembeli–penjual, sebelum akhirnya membentuk kerjasama yang tidak dijangka.
Walaupun terdapat perbezaan bahasa, keserasian mereka di set menghasilkan banyak detik spontan, lucu dan penuh elemen silang budaya.
Road to Vendetta menampilkan visual yang bergaya dan beratmosfera dengan ketegangan psikologi yang mendalam, mengisahkan Assassin No. 4, seorang pembunuh upahan profesional yang terperangkap dengan seorang wanita misteri yang dibelenggu dendam.
Selain babak aksi penuh letupan, filem ini mengetengahkan persoalan utama: Mampukah nilai kemanusiaan bertahan di sudut paling gelap dalam dunia pembunuh upahan?
Jeffery turut menjalani latihan intensif bagi memastikan aksi pergaduhan dan kehadiran skrin kelihatan mantap.
Barisan pelakon turut disertai aktor Hong Kong, Chu Pak Him (Crisis Negotiators) dan Rosa Maria Velasco (Time Still Turns the Pages, The Last Dance).
© New Straits Times Press (M) Bhd




