Jakarta: Pelakon, Jefri Nichol, 26, kecewa apabila tumpas dengan El Rumi, 26, dalam tempoh sangat pantas iaitu 38 saat di pertarungan tinju Superstar Knockout Vol antara mereka yang dinanti-nantikan, Sabtu lalu.
Bagi Jefri, keputusan itu amat pahit untuk diterima. Walaupun sudah membuat persiapan rapi, dia sama sekali tidak menyangka pertarungan terbabit akan berakhir begitu singkat.
“Saya rasa macam sudah hilang harapan untuk bertinju. Bukan trauma, tetapi lebih kepada rasa sangat kecewa,” kata Jefri ketika ditemui media di Senayan, Jakarta Pusat, sejurus selepas kekalahannya.
El Rumi yang juga anak kepada anggota Dewa 19, Ahmad Dhani berjaya membuktikan kehebatannya apabila menumpaskan Jefri menerusi kemenangan TKO (Technical Knockout) pada pusingan pertama. Kemenangan pantas itu mengejutkan penonton yang hadir.
Jefri turut mendedahkan dia kurang selesa dengan suasana dan sistem pemarkahan dalam sukan tinju yang dianggapnya agak aneh dan mengelirukan.
Pelakon filem Ali Topan itu turut membandingkan tinju dengan sukan Seni Mempertahankan Diri Campuran (MMA) yang menurutnya lebih adil.
“Dalam MMA, siapa yang mendominasi, dialah yang menang. Tidak seperti tinju yang ada kiraan mata, dan kadangkala yang lebam pula diisytihar menang,” katanya yang turut cedera di bahu dalam perlawanan itu. .
Kekecewaannya lebih memuncak apabila dia sendiri tidak begitu faham mengapa pengadil perlawanan membuat keputusan untuk menghentikan pertarungan secepat itu.
“Saya sendiri pun keliru kenapa pertarungan dihentikan secara tiba-tiba. Mungkin saya yang tidak faham mengenai tinju, atau mungkin mereka (pengadil) lebih arif mengenai hal ini,” katanya.
Bagaimanapun, Jefri menerusi media sosial berkata, dia menerima kekalahan itu.
“Kadang-kadang apa yang kita rancang itu tak menjadi. Bahu saya terkehel dan pengadil membuat keputusan tidak meneruskan perlawanan.
“Saya seronok dapat kembali semula ke gelanggang walaupun saya dan El Rumi tidak dapat menunjukkan pertarungan sebenar.
“Terima kasih kepada semua yang menonton dan menyokong. Saya minta maaf tidak dapat menunjukkan perlawanan seperti yang anda mahukan,” tulisnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




