Jejaka dambaan wanita

Jejaka dambaan wanita

asyikin.mat@hmetro.com.my

LELAKI yang baik sentiasa menjadi dambaan wanita untuk dijadikan pasangan hidup.

Ini kerana mereka adalah insan istimewa yang memiliki kualiti untuk membina hubungan sihat dan membahagiakan.

WM minggu ini berkongsi enam ciri-ciri lelaki baik yang menjadi buruan wanita.

1. Kematangan emosi

Ia adalah satu ciri penting yang membezakan seorang lelaki itu baik atau sebaliknya.

Ciri-ciri lain kematangan emosi ialah mampu memahami emosi sendiri, meluahkan emosi cara sihat dan empati terhadap perasaan orang lain.

Sifat ini adalah asas penting untuk membina hubungan berkualiti bersama pasangan masing-masing.

Komunikasi menjadi lebih baik, kurang konflik dan hubungan lebih kukuh apabila seorang lelaki memiliki kematangan emosi.

Kematangan emosi tidak bermaksud lelaki tidak pernah berasa marah, sedih atau kecewa.

Sebaliknya, bermaksud seorang lelaki mampu mengawal emosi dengan baik dan menjadikan seorang lelaki sebagai pasangan hidup yang hebat.

2. Kebaikan hati dan belas kasihan

Nilai kebaikan hati dan belas kasihan dimiliki seorang lelaki tidak boleh dipandang ringan.

Ini kerana sifat itu bukan sekadar mengenai bersikap baik kepada orang lain.

Tetapi, mencerminkan kemampuan seseorang untuk berempati, memahami perasaan orang lain dan mengambil berat kesejahteraan mereka.

Hubungan menjadi kekal apabila pasangan saling menunjukkan kebaikan hati dan belas kasihan antara satu sama lain.

Seorang lelaki yang baik tidak hanya mempamerkan sifat ini kepada pasangannya, tetapi juga terhadap semua orang di sekelilingnya, tanpa mengira status atau hubungan.

3. Berdikari

Antara sifat penting lelaki yang baik ialah kemampuan untuk berdikari.

Ini bermaksud seorang lelaki berupaya berdiri atas kaki sendiri tanpa bergantung kepada orang lain untuk kebahagiaan diri.

Lelaki yang berdikari tahu nilai dirinya, menghormati keperluan pasangan dan memahami bahawa perhubungan yang sihat adalah saling melengkapi antara satu sama lain.

4. Kejujuran

Kejujuran adalah kunci utama bagi setiap hubungan yang berjaya.

Lelaki baik akan memahami nilai berkata benar yang bukan sahaja kepada perkara besar, bahkan perkara kecil.

Kejujuran bukan sekadar bercakap benar, tetapi juga bersikap jujur kepada diri sendiri dan insan tersayang.

5. Menghormati

Rasa hormat adalah asas dalam mana-mana hubungan sihat.

Lelaki yang baik sentiasa menghormati pasangan, menghargai pendapat, melayan dengan penuh kasih sayang dan memberi sokongan emosi.

Selain itu, lelaki yang baik menunjukkan rasa hormat bukan sahaja melalui kata-kata tetapi juga tindakan.

6. Bertanggungjawab

Tiada lelaki sempurna yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Namun, lelaki yang baik ialah apabila sanggup bertanggungjawab mengakui kesilapan, memohon maaf dengan ikhlas dan berusaha memperbaikinya.

Sifat bertanggungjawab bukan bertujuan menyalahkan, tetapi terbuka menerima kesan daripada tindakan sendiri dan mengambil iktibar daripada perkara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top