Jel dua tahun menanti!

Jel dua tahun menanti!

georgie@hmetro.com.my

ANNYEONGHASEYO! Penyanyi juga bekas anggota Winner, Nam Tae Hyun kini berdepan hukuman penjara dua tahun selepas mengaku terbabit dalam pengambilan dadah.

Tae Hyun mengaku bersalah mengambil dan memiliki dadah syabu sekitar Oktober lalu. Selain dia, turut mengaku salah adalah peserta program Heart Signal iaitu Seo Min Jae.

Sewaktu perbicaraan kedua pada 7 Disember lalu, pendakwa raya menuntut mereka dijatuhkan hukuman penjara. Tidak ketinggalan diarah membayar denda RM1773.

Menerusi hujah pendakwa raya, kesalahan mereka wajar diberi pengajaran apatah lagi pada awalnya mereka menipu dengan mengaku tidak bersalah. Justeru, percaya hukuman lebih keras perlu dikenakan.

“Disebabkan status sebagai figura awam, jenayah dilakukan meninggalkan impak sosial signifikan di mana wajar dikenakan hukuman tegas.

“Keduanya pada mula mereka menafikan pembabitan, yang sekali gus menuntut hukuman lebih keras,” katanya.

Tae Hyun mengakui sangat menyesali perbuatannya itu. Dia memohon diberi kelonggaran terhadap hukuman dijatuhkan kepadanya.

“Saya bermuhasabah diri untuk menjalani kehidupan lebih baik setiap hari. Sebagai figura awam dan seorang yang bergelut dengan ketagihan dadah, saya sedia bertanggungjawab.

“Dalam masyarakat di mana masalah dadah adalah lazim, saya akan dedah semua kesilapan dan kalau boleh, mengetuai aktiviti membanteras dadah,” katanya yang kini mengikuti program pemulihan dadah.

Mereka sebelum ini didakwa mengambil 0.5 gram syabu pada Ogos 2022. Mereka melarutkan dadah dalam alkohol dan meminumnya di kediaman mereka.

Tae Hyun juga dituduh mengambil tambahan 0.2 gram dadah berkenaan pada Disember 2022.

Tarikh perbicaraan untuk jatuh hukum dijadualkan pada 18 Januari tahun depan

.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top