London: Penganjur Jelajah Juara-Juara PGA akan menambah satu lagi pusingan selain bakal memperkenalkan beberapa perubahan baharu serta meningkat jumlah hadiah wang kemenangan untuk musim 2025, umum penganjur.
Secara keseluruhannya, pemain akan bersaing di 20 tempat dan di tiga negara untuk merebut hadiah wang sebanyak AS$69 juta (RM302.14 juta) jumlah tertinggi dalam sejarah jelajah ini.
Pusingan terbaharu yang ditawarkan dalam siri Jelajah PGA adalah James Hardie Pro Football Hall of Fame Invitational yang akan diadakan pada 4-6 April di The Old Course di Broken Sound, Boca Raton, Florida.
Ia akan menampilkan barisan juara-juara yang bersaing dengan 26 nama besar dalam dunia bola sepak pada dua hari pertama, manakala hari Ahad akan dikhususkan untuk pemain golf profesional.
Kejuaraan American Family Insurance akan beralih ke format golf berpasukan dan akan diadakan pada 6-8 Jun di TPC Wisconsin, lapangan baharu yang diubah suai.
Secara keseluruhannya jelajah tahun ini menawarkan 25 kejohanan dengan persaingan akan bermula pada 17 hingga 19 Januari iaitu Kejohanan Mitsubishi Electric di Ka’upulehu-Kona, Hawaii, diikuti dengan Maghribi untuk Piala Hassan II di Royal Golf Dar Es Salam di Rabat pada hujung minggu pertama bulan Februari.
Musim itu akan berakhir pada bulan November di Kejohanan Piala Charles Schwab di Phoenix.
“Ketika kami bersedia untuk siri terakhir yang mendebarkan bagi musim 2024, saya teruja untuk berkongsi jadual Jelajah PGA 2025.
“Musim depan menjanjikan persaingan yang sengit untuk siri Jelajah Juara-Juara, kerana kami terus membina asas yang hebat yang sedia ada,” kata Presiden PGA Miller Brady.
© New Straits Times Press (M) Bhd




