Jelita, berani, berbakat, pembantu veterinar ini bukan gadis biasa

Jelita, berani, berbakat, pembantu veterinar ini bukan gadis biasa

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berbekalkan minat, keberanian dan kecintaan terhadap haiwan, gadis jelita ini menyahut cabaran menjadi pembantu veterinar di sebuah klinik haiwan dekat Kluang, Johor.

Biarpun terdedah dengan bahaya kerana berdepan haiwan agresif seperti anjing , Nik Noor Nabihah Mohd Aris, 25, masih bertahan kerana seronok dengan tugasan dilakukan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Biologi lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, pengalaman bekerja sebagai pendandan haiwan selepas tamat persekolahan banyak membantunya dalam rutin kerja harian.

“Saya pun ada pelihara bermacam jenis haiwan di rumah seperti ekor kucing, ‘sugar glider’ , arnab, landak ekor dan sebelum ini ayam Belanda.

“Jadi sudah terbiasa dengan haiwan sampai tak ada rasa trauma pun selepas melakukan tugasan walaupun pernah saja dicakar kucing agresif dan berdepan anjing yang bersaiz besar serta garang.

“Saya pun tak tahu bila ada rasa takut. Di klinik pun, pernah satu masa, saya saja berani bantu doktor kendalikan kes membabitkan haiwan agresif dan pengalaman sebenarnya yang banyak membantu.

“Selain itu, saya belajar juga teknik kendalikan haiwan dengan menyertai seminar,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nik Noor Nabihah berkata, rutin kerjanya adalah enam hari seminggu dengan cuti pada Sabtu.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, tugasnya adalah membantu mengendalikan kes berkaitan haiwan kritikal dan perlu menjalani pembedahan.

“Biasanya saya bantu kendalikan kes berkaitan kucing dan pada masa sama, saya juga menjadi ketua pendandan haiwan di klinik.

“Saya gunakan pengetahuan dimiliki untuk beri khidmat nasihat termasuk cara penjagaan kepada penjaga haiwan yang datang ke klinik.

“Seronok sebenarnya dan walaupun kena hadap haiwan dan bau setiap hari, saya tetap jaga penampilan diri waktu kerja kerana suka berdandan.

“Lagipun, saya tak kendalikan haiwan saja tapi berurusan dengan manusia iaitu penjaganya jadi imej sangat penting,” katanya.

Biarpun sibuk dengan tugas hakiki, Nik Noor Nabihah turut cenderung dalam bidang kesenian dan terbaru, dia menguji kemampuan diri dengan bertanding dalam pertandingan pencarian model.

Percubaannya berhasil apabila mendapat tempat kedua dalam pertandingan itu walaupun tidak menaruh harapan tinggi.

“Sejak berusia empat tahun lagi saya suka sertai aktiviti kesenian malah pernah memegang jawatan Presiden Kelab Kebudayaan dan Kesenian ketika di kampus dulu.

“Tahun ini, saya cuba pula sertai pertandingan pencarian model dan syukur keluarga terutama emak dan ayah banyak beri galakan.

“Cuma kena cari masa supaya tak ganggu waktu kerja dan apa pun, saya ingat pesan emak yang sokong apa saya minat tapi kena fikirkan masa depan juga.

“Disebabkan itu, saya tetap utamakan pelajaran sebelum ceburkan diri dalam kerjaya sekarang atau cabang apa pun,” katanya yang menyimpan hasrat menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi jika ada rezeki.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top