Jemaah 70 tahun ke atas dibenar solat fardu, Jumaat di masjid, kata MAIK

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata selain itu pelaksanaan solat Jumaat dan Fardu di Kelantan juga dibenarkan dengan bilangan jemaah 50% daripada kapasiti dan keluasan masjid.

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan jemaah yang berumur 70 tahun ke atas bagi menunaikan solat Jumaat dan fardu di seluruh masjid di negeri ini bermula esok sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata selain itu pelaksanaan solat Jumaat dan Fardu di Kelantan juga dibenarkan dengan bilangan jemaah 50% daripada kapasiti dan keluasan masjid.

“Selain itu kuliah agama termasuk kelas Al-Quran juga dibenarkan dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti dan keluasan masjid dengan penjarakan satu meter antara jemaah. Prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan solat Jumaat dan fardu dikekalkan sebagaimana yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu turut mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Menurutnya MAIK juga amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap sebarang kegagalan dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.