husain@hmetro.com.my
Makkah: Seramai 5,681 jemaah daripada kira-kira 17,000 jemaah haji yang sudah berada di Tanah Suci datang ke Pusat Rawatan TH dan klinik di maktab-maktab di Makkah dan Madinah untuk mendapatkan rawatan bagi tempoh 9 hingga 28 Mei 2024.
Bagaimanapun, angka itu dianggap masih terkawal kerana jika ia dipuratakan, ia dilihat masih sama dengan kedatangan jemaah pada tahun lalu iaitu empat pesakit daripada 100 orang.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Abdul Marsudi Manah berkata, daripada jumlah itu, hanya 34 pesakit sahaja yang ditempatkan di dalam wad, manakala selebihnya dibenarkan pulang.
“Kebanyakan penyakit yang dihidapi jemaah ialah yang berkaitan respiratori kerana perubahan cuaca yang mendadak, terlalu panas, berdebu dan kering. Cuaca panas ini, apabila kita sedut secara tidak langsung menyebabkan tekak atau hidung akan luka. Inilah sebab kita akan berasa walaupun tidak demam tetapi batuk.
“Tidak dinafikan, setiap jemaah yang sampai ke Tanah Suci, akan berasa teruja untuk melakukan ibadah umrah atau tawaf sunat. Kita dapati ramai jemaah yang datang ke klinik akibat penyakit bawaan persekitaran, persekitaran sesak, kering, panas dan berdebu,” katanya lagi kepada Petugas Media TH di sini, kelmarin.
Menurut Dr Marsudi yang juga Pakar Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, akibat terlalu teruja dek kerana hendak melakukan ibadah, ada antara jemaah yang terlupa atau tidak berkesempatan mengambil ubat mengikut jadual.
Berikutan itu juga katanya, pasukan perubatan TH sentiasa mengadakan lawatan dari bilik ke bilik bagi memberi penekanan kepada jemaah mengenai kepentingan memakai pelitup muka terutama apabila berada di tempat yang sesak walaupun Covid-19 terkawal.
“Pemakaian pelitup hidung dan mulut ini bukan sahaja untuk mengelak Covid-19 tetapi juga virus-virus yang lain. Di Tanah Suci ini, ada ratusan negara bukan sahaja dari Asia Tenggara tetapi juga Afrika, jadi kita tidak tahu apa virus ada pada jemaah-jemaah ini,” katanya.
Untuk memenuhi keperluan Pusat Rawatan dan klinik-klinik ini, pihaknya menyediakan 278 Petugas Kesihatan yang terdiri daripada pelbagai disiplin dan jabatan.
“Kita bukan hanya sediakan doktor pakar perubatan. Mereka turut dibantu oleh pegawai perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan dan unit sokongan makmal, malah kita juga menyediakan pakar pemakanan serta pergigian dan fisiologis,” katanya lagi.
Seramai 40 daripada mereka mempunyai pengalaman bertugas di Tanah Suci, manakala 60 peratus adalah petugas baharu. Gabungan itu menjadikan setiap unit menjadi lebih mantap apabila ada yang lama dengan yang baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




