
Abdul Basir ketika ditemui media.- Agensi
JEDDAH – Cubaan seorang jemaah haji Indonesia untuk menyeludup sejumlah besar rokok ke Arab Saudi berjaya digagalkan pihak kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah selepas mesin pengimbas mengesan barangan mencurigakan dalam bagasi berkenaan.
Menurut laporan media Indonesia, pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 100 kartun rokok disembunyikan di dalam bagasi jemaah terbabit.
Ketua Operasi Lapangan Terbang Panitia Penyelenggara Ibadah Haji (wakil Indonesia di Arab Saudi) Abdul Basir mengesahkan kejadian itu berlaku ketika pemeriksaan pihak kastam Arab Saudi pada awal pagi Sabtu.
“Selepas pemeriksaan dibuat, didapati terdapat rokok dalam jumlah besar, dianggarkan sekitar 100 kartun daripada salah satu kumpulan jemaah dari Indonesia,” katanya di Jeddah pada Ahad.
Menurut beliau, Arab Saudi masih membenarkan jemaah membawa rokok, namun dihadkan kepada maksimum dua kartun bagi setiap individu.
Bagaimanapun, jumlah yang ditemui jauh melebihi had ditetapkan, sekali gus menyebabkan sebahagian besar rokok tersebut dirampas oleh pihak berkuasa lapangan terbang.
Bagasi jemaah terbabit bagaimanapun telah dipulangkan semula selepas proses rampasan selesai dijalankan.
“Jemaah masih dibenarkan membawa rokok mengikut had maksimum yang ditetapkan, manakala selebihnya telah dirampas pihak kastam Arab Saudi,” jelasnya.
Insiden itu menambah senarai kes cubaan membawa masuk barangan berlebihan oleh jemaah haji Indonesia ke Arab Saudi.
Sebelum ini, pihak berkuasa turut mengesan bagasi mengandungi lima kilogram tempe goreng kering serta pelbagai barangan dapur yang mencetuskan pemeriksaan ketat di mesin pengimbas.
Pihak pengurusan haji Indonesia kini bekerjasama dengan pusat pelepasan jemaah bagi memperketatkan penerangan kepada bakal jemaah mengenai peraturan bagasi sebelum berlepas ke Tanah Suci.
Beliau turut mengingatkan semua jemaah supaya mematuhi peraturan penerbangan dan kastam Arab Saudi bagi mengelakkan sebarang masalah ketika tiba di negara itu.- Agensi



