Jemaah tak dibenar berjalan dari Makkah ke Arafah – Mohd Naím

Jemaah tak dibenar berjalan dari Makkah ke Arafah – Mohd Naím

adha@bh.com.my

Makkah: Beberapa hari menjelang bermulanya hari wukuf, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menasihatkan rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kebenaran pihak berkuasa Arab Saudi supaya tidak sesekali mengambil risiko dengan mencuba nasib mengerjakan ibadah itu.

Selain berdepan tindakan undang-undang tegas, beliau berkata kebimbangan juga dari segi risiko terutama faktor kesihatan sekiranya ada yang mengerjakan ibadah haji melalui saluran tidak sah.

Beliau berkata, perkara itu juga antara dibangkitkan melalui pertemuan menteri yang menerajui portfolio agama bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah hari ini.

“Saya harapkan jemaah haji kita yang tidak ada permit, jangan duduk di Tanah Suci untuk kerjakan haji secara tidak sah sebab tahun ini mereka (kerajaan Arab Saudi) akan ambil tindakan penguatkuasan yang begitu ketat bertujuan memastikan keselamatan jemaah haji di seluruh dunia.

“Sebab itu kita nampak jalan lengang tak macam tahun-tahun lalu dan kita harapkan dengan usaha dibuat kerajaan Arab Saudi ini, tidak ada ‘casualty’ (kehilangan nyawa) berlaku, kalau berlaku (juga) jumlah itu dapat dikurangkan berbanding tahun lepas,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Grand Hajj Symposium di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Naím berkata, di dalam simposium hari ini beliau dimaklumkan jemaah haji tidak lagi dibenarkan untuk berjalan dari Makkah menuju Arafah, sebaliknya perlu menaiki kenderaan disediakan.

Untuk itu, katanya kerajaan Arab Saudi akan meningkatkan sistem pengangkutan, mengambil kira faktor cuaca panas.

“Mungkin ada jemaah kata ada kemampuan untuk berjalan jauh, tetapi ia tak (akan) berlaku macam tu (tahun ini).

“Tahun lalu ramai yang kena strok haba kerana berjalan begitu jauh dan disebabkan terlalu lama terdedah kepanasan dan ada yang meninggal dunia ‘on ‘the spot’ (di situ juga).

“Arab Saudi tekankan untuk keselamatan diri jemaah haji untuk tahun ini,” katanya.

Mengenai pertemuan bersama Dr Tawfiq beliau berkata, antara turut disentuh ketetapan mengenai jemaah haji yang tak dibenar keluar terutama ketika masyair di Arafah antara jam 10 pagi hingga 4 petang, selain jemaah dilarang untuk ke Masjid Namkirah dan Jabal Rahmah yang menjadi antara lokasi kegemaran jemaah Malaysia, antara tempoh waktu sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top