Putrajaya : JeMels Atelier memperkenalkan 20 rekaan terbaharu sebagai koleksi pra-raya, sekali gus membuka tirai kepada pengeluaran 60 lagi rekaan eksklusif bagi Koleksi Raya 2026, menjadikan tahun hadapan antara koleksi terbesar pernah dihasilkan oleh jenama fesyen terkenal itu.
Pengerusinya, Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Azman Shah berkata pihaknya akan terus memperkenalkan elemen warisan seperti motif Bunga Tanjung, simbol rasmi Negeri Selangor, dalam rekaan masa depan sebagai identiti yang membezakan jenama itu daripada pesaing lain.
“JeMels komited memperkasakan wanita melalui fesyen sopan yang elegan, moden dan membawa identiti budaya tempatan,” katanya pada majlis melancarkan butik baharu di IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.
Menurut beliau, pembukaan butik baharu ini adalah sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kedudukan JeMels sebagai jenama fesyen sopan (modest) arus perdana.
Sementara itu, rakan kongsi JeMels iaitu pelakon dan usahawan, Ashraf Muslim, melihat penyertaannya dalam industri fesyen ini sebagai peluang memperkukuh masa depan dirinya serta membuka ruang kerjasama lebih besar dalam dunia keusahawanan.
“Saya dan Tengku Hishammuddin nampak peluang yang sangat besar untuk JeMels berkembang. Konsep tona pastel lembut dengan sentuhan Bunga Tanjung sebagai identiti Selangor memberi keunikan tersendiri kepada jenama ini. Saya yakin rekaan JeMels mampu pergi lebih jauh,” katanya.
Pelakon drama Dari Rahim Yang Sama itu memaklumkan bahawa penglibatan dalam JeMels bukanlah percubaan pertamanya dalam bidang fesyen, memandangkan beliau pernah melancarkan koleksi Baju Melayu sebelum ini.
Sementara itu, Ashraf menegaskan keperluan artis untuk lebih berstrategi dalam merancang masa depan, memandangkan dunia seni tidak menyediakan kemudahan jaminan sosial seperti pekerja sektor formal.
Katanya, untuk masa depan yang stabil terutamanya demi keluarga golongan artis perlu ada inisiatif tambahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




