AMMAN – Jordan mengutuk keras tindakan Israel menutup Masjid al-Aqsa dan mengehadkan akses ke Gereja Makam Suci di Baitulmaqdis Timur yang disifatkan sebagai ‘jenayah terhadap kebebasan beragama’.
Jurucakapnya, Mohammad al-Momani menegaskan sekatan ketat dikenakan terhadap penganut Kristian dan penduduk Palestin sememangnya satu pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa dan melanggar status quo di kota suci tersebut.
“Rejim Tel Aviv tiada mempunyai kedaulatan undang-undang terhadap Baitulmaqdis atau tapak sucinya. Hanya Wakaf Islam yang dilantik di bawah bidang kuasa Amman dipertanggungjawabkan untuk mentadbir al-Aqsa berkeluasan kira-kira 144,000 meter persegi.
“Tindakan mereka dikhuatiri memburukkan lagi ketegangan di Asia Barat dan mencetuskan ucapan kebencian,” menurutnya lagi sambil menambah Jordan akan memberi respons tegas jika kebebasan untuk beribadah terus disekat sewenang-wenangnya.
Rancangan jahat Israel mahu mengubah landskap sejarah, demografi dan keagamaan di Baitulmaqdis yang diiktiraf sebagai bakal ibu kota negara Palestin yang merdeka turut mengundang kecaman komuniti antarabangsa.

Gereja Makam Suci menjadi sasaran terbaharu rumah ibadat yang berdepan sekatan ketat Israel. – Foto Agensi
Arab Saudi dan beberapa negara Islam menerusi satu kenyataan bersama mengutuk sekatan ketat yang dikenakan ke atas al-Aqsa dan Gereja Makam Suci.
“Ia merupakan pelanggaran hak akses tanpa had ke rumah ibadat yang mencabuli undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu lagi.
Rancangan ‘meyahudikan’ al-Aqsa
Pada akhir minggu lalu, pentadbir Baitulmaqdis turut memberi amaran keras kepada pelampau Yahudi yang mahu melakukan ritual penyembelihan haiwan di al-Aqsa.
Upacara keagamaan tersebut dipercayai telah dirancang puak ekstremis bertepatan dengan penutupan masjid ketiga paling suci bagi orang Islam itu selama lebih 30 hari sejak awal Ramadan.
“Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Temple Mount Yeshiva’ cuba menggunakan ritual ketika sambutan Hari Paskah untuk ‘meyahudikan’ al-Aqsa.
“Puak itu mengeksploitasi sekatan di masjid berkenaan untuk meneruskan agenda jahat Yahudi termasuk menghasilkan imej kecerdasan buatan (AI) dan video untuk menggalakkan penyokong mereka terlibat ritual tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Puak ekstremis Yahudi cuba mengeksploitasi situasi al-Aqsa untuk melakukan ritual penyembelihan haiwan yang ditegah sama sekali.
Pentadbir Kota Lama itu turut merekodkan tiga percubaan luar biasa untuk memperkenalkan ritual penyembelihan haiwan ke dalam pekarangan al-Aqsa (Haram al-Sharif) termasuk insiden di mana haiwan disembelih atau daging yang berlumuran darah dibawa masuk ke kawasan suci tersebut.
Tindakan biadab tersebut disifatkan sebagai sebahagian daripada peningkatan sistematik yang bertujuan mewujudkan realiti baharu di masjid berkenaan.
Ia turut memberi amaran bahawa rancangan keji tersebut berkait dengan kepercayaan ideologi dalam kalangan puak sayap kanan Israel dan gerakan nasionalis yang mahu mengubah status sejarah di al-Aqsa,
Hari Paskah dijadualkan berlangsung antara 2 hingga 9 April ini berpotensi menyaksikan peningkatan ketegangan di wilayah diduduki tersebut. – Agensi
Ringkasan AI
- Jordan mengutuk tindakan Israel menutup Masjid al-Aqsa dan mengehadkan akses ke Gereja Makam Suci.
- Sekatan ke atas penganut Kristian dan Palestin melanggar undang-undang antarabangsa.
- Jordan akan bertindak tegas jika kebebasan beribadah terus disekat oleh Israel.
- Rancangan Israel menggubah landskap Baitulmaqdis mengundang kecaman antarabangsa.
- Pentadbir Baitulmaqdis memberi amaran terhadap upacara Yahudi yang dirancang di al-Aqsa.



