rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelbagai aset hasil jenayah rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram bernilai lebih RM31.4 bilion dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya turut melucuthak harta berjumlah RM28 bilion dalam tempoh sama.
Menurutnya, aset dan harta terbabit diperoleh menerusi operasi siasatan yang dilancarkan termasuk operasi besar, Op Metal terhadap sindiket penyeludupan besi yang menyaksikan penyitaan aset dianggarkan bernilai lebih RM183 juta.
“SPRM juga menyita hartanah bernilai RM620 juta dalam projek rangkaian fiber serta aset mewah bernilai RM32 juta dari kediaman seorang individu bergelar Tan Sri membabitkan 217 unit jam tangan mewah dan 27 unit beg tangan berjenama.
“Tidak ketinggalan, dalam kes penyelewengan dana bina lebuh raya, SPRM menyita lebih RM36 juta aset termasuk wang tunai, kereta mewah dan akaun bank,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kesemua operasi itu adalah bukti jelas SPRM sentiasa proaktif dalam mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit dalam aktiviti rasuah serta pengubahan wang haram.
Menurutnya, penyitaan dan pelucuthakan aset adalah langkah kritikal dalam memastikan penjenayah tidak dapat menikmati hasil daripada aktiviti haram mereka.
“Ini sekali gus menghantar mesej jelas bahawa jenayah tidak akan pernah menguntungkan,” katanya.
Katanya, salah satu peranan utama SPRM melalui Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) ialah memulihkan dan melucuthakkan harta tak alih, selain harta alih yang diperoleh hasil daripada aktiviti jenayah.
Beliau berkata, sehingga kini Bahagian AML SPRM menguruskan sebanyak 41 harta tak alih yang masih menunggu pelupusan.
Menurutnya, tindakan itu mencerminkan komitmen SPRM dalam memulihkan aset hasil jenayah kepada negara dan usaha ini bukan saja mengembalikan hasil kepada negara tetapi dapat membina semula keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd