Jenazah 3 beranak selamat dikebumikan dalam satu liang lahad

Jenazah 3 beranak selamat dikebumikan dalam satu liang lahad

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Maras selepas jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 53, Kampung Sungai Lerek, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu – Kota Bharu awal pagi, hari ini selamat dikebumikan.

Jenazah Kamarudin Ibrahim, 55, Maimumah Mat Isa, 54, dan anak mereka Nur Ardiena Kamarudin, 30, dikebumikan dalam satu liang lahad, pada jam 9.40 malam.

Ia turut dihadiri lebih 200 ahli keluarga dan kenalan bagi memberi penghormatan terakhir kepada mereka.

Terdahulu jenazah tiga beranak itu tiba pada jam 9 malam.

Sebelum itu, mereka dikafankan di Hospital Setiu dan kemudiannya dibawa pulang ke rumah mereka di Lorong Merican, Telipot sebelum disembahyangkan di Masjid Sultan Muhammad II Telipot selepas solat Isyak.

Sementara itu, Mohd Shahidin Ibrahim, 31, adik bongsu kepada Allahyarham Kamarudin berkata, dia tidak sempat berjumpa dengan arwah abangnya sebelum mereka sekeluarga bertolak ke Putrajaya pada Khamis lalu untuk menghadiri majlis konvokesyen, Nur Azwa Shamimi Kamarudin, 21.

“Sebelum ke Putrajaya, arwah abang bersama isteri dan dua anaknya singgah di rumah anak ketiga mereka, Ahmad Kamarul Syafiq Kamarudin, 26, yang tinggal di Jempol, Negeri Sembilan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di sana, arwah abang menghubungi saya untuk bertanyakan nombor telefon rakan kepada Ahmad Kamarul Syafiq disebabkan pada ketika itu tidak dapat menghubungi anaknya.

“Itulah kali terakhir saya bercakap dengan arwah abang sehinggalah menerima berita duka kemalangan menimpa mereka sekeluarga pagi tadi,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Maras.

Katanya, dia bersama anak-anak arwah abangnya kemudian bergegas ke Hospital Setiu untuk proses pengecaman mayat.

“Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan menyifatkan kejadian itu adalah ketentuan takdir.

Media hari ini melaporkan, tiga beranak maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat awal pagi tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top