Jenazah Allahyarham Konstabel Muhammad Raimi selamat dikebumikan

Jenazah Allahyarham Konstabel Muhammad Raimi selamat dikebumikan

am@hmetro.com.my

Dungun: Jenazah anggota polis, Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 24, yang maut terkena renjatan elektrik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh Dua, dekat sini, awal pagi ini.

Jenazah Muhammad Raimi diterbangkan dari Kota Kinabalu, Sabah menggunakan pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum mendarat di Pengkalan Udara Kuantan.

Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga Allahyarham sebaik van jenazah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di kediamannya di Felda Kerteh Dua, kira-kira jam 11.40 malam.

Jenazah kemudiannya dibawa naik ke rumah mangsa untuk tatapan terakhir ahli keluarganya termasuk kedua ibu bapanya, Ismarubee Ismail, 51 dan Nor Azila Zakaria, 46.

Sebaik selesai disolatkan, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh Dua, dan selamat dikebumi jam 1.15 pagi.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat.

Dalam kejadian kira-kira 5.50 petang semalam, Muhammad Raimi bersama Koperal Chiu Teck Siong, 40 dan Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, yang bertugas di Balai Polis Weston maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik.

Ketika kejadian, ketiga-tiga anggota terbabit dipercayai cuba mengalihkan galah besi sepanjang 29 kaki yang digunakan untuk mengait buah kelapa di luar Balai Polis Weston sebelum terkena renjatan elektrik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top