am@hmetro.com.my
Melaka: Jenazah Istiqomah Ahmad Rozi, 33, selamat dituntut ahli keluarganya bagi urusan pengebumian.
Jenazah guru itu dituntut suaminya, Mohd Yusof Mohktar, 35, yang tiba di Jabatan Forensik Hospital Melaka, ditemani beberapa ahli keluarga kira-kira jam 11.45 pagi.
Terdahulu, Mohd Yusof dan keluarga diberi penerangan oleh pihak hospital berhubung keadaan jenazah dalam sesi yang berlangsung kira-kira 30 minit itu,
Ia turut disertai Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah dan pegawai penyiasat.
Jenazah kemudian dimandi dan dikafankan sebelum disolatkan ahli keluarga terdekat.
Van jenazah yang membawa Allahyarhamah kemudian meninggalkan pekarangan jabatan forensik kira-kira 2.10 petang untuk dibawa ke Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.
Sementara itu, abang ipar Istiqomah, ingin dikenali sebagai Zul berkata, jenazah akan dikebumikan di Pasir Mas, Kelantan sejurus tiba tengah malam nanti.
“Sebagai ahli keluarga, saya amat lega akhirnya hari ini kami dapat tuntut jenazah arwah selepas lama menunggu.
“Di pihak keluarga, kami memang inginkan mempercepatkan kerana jenazah sudah lama, apa pun alhamdulillah (semuanya sudah selesai),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




