
Jenazah Ariel dibawa menaiki motosikal akibat ketiadaan ambulans susulan jalan yang rosak teruk di kawasan pergunungan di Kecamatan Pinembani, Sulawesi Tengah. – Agensi
DONGGALA – Sebuah video tular memaparkan detik memilukan apabila jenazah seorang penjawat awam terpaksa dibawa menaiki motosikal akibat ketiadaan ambulans susulan jalan yang rosak teruk di kawasan pedalaman.
Mangsa dikenali sebagai Ariel Sharon, anggota Badan Kependudukan dan Keluarga Berencana Nasional (BKKBN), dilaporkan meninggal dunia di kawasan pergunungan di Kecamatan Pinembani, Sulawesi Tengah.
Jenazah itu hanya dibalut dengan kain sarung dan diikat di bahagian belakang motosikal, sebelum dihantar ke rumah keluarganya menggunakan laluan sempit dan berlumpur.
Penduduk setempat terpaksa menggunakan apa sahaja cara yang ada untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan berikutan keadaan jalan yang tidak boleh dilalui kenderaan besar termasuk ambulans.
Insiden itu mengundang reaksi Bupati Donggala, Vera Elena Laruni, yang berjanji akan menilai semula sistem akses kesihatan dan jalan di kawasan tersebut.
“Kami komited untuk menambah baik kemudahan kecemasan dan kesihatan di kawasan pedalaman,” katanya kepada media tempatan.
Beliau turut mengarahkan pegawai kesihatan daerah untuk memberikan bantuan penuh kepada keluarga Ariel sebagai tanda keprihatinan pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, Vera turut mengarahkan audit segera terhadap prasarana kesihatan supaya insiden serupa tidak berulang pada masa akan datang.
Kes ini sekali lagi menyorot jurang kemudahan asas antara kawasan bandar dan pedalaman di Indonesia, terutama melibatkan perkhidmatan penting seperti ambulans dan penjagaan kesihatan. – Agensi