Jenazah enam beranak selamat dikebumikan berhampiran pusara Jebat Haydar

Jenazah enam beranak selamat dikebumikan berhampiran pusara Jebat Haydar

mukhsein.mukhtar@nst.com.my

Jerlun: Suami isteri dan empat anaknya yang ditemui maut dalam Proton Iswara yang tenggelam di Sungai Korok, Jitra, selamat dikebumikan berhampiran pusara bayi lelaki mereka yang meninggal dunia, awal tahun ini.

Jenazah Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, dan empat anak mereka, Putra Rayyan Nur, 9; Hawa Adriana Nur, 8; Annayla Humaira Nur, 7; dan Tuah Haydar yang berusia enam bulan, sebelum itu dibawa dari Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Star.

Jenazah tiba di Masjid Jerlun al-Taqwa berhampiran rumah enam beranak itu pada 10 malam dan solat jenazah dilakukan dengan disertai lebih 500 orang, terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga.

Mereka dikebumikan bersama dalam satu pusara pada 11.20 malam, berhampiran kubur kembar Tuah Haydar, iaitu Jebat Haydar yang meninggal dunia pada Februari lalu akibat komplikasi kesihatan.

Tragedi berlaku meninggalkan Putri Qisya Nur Izzat, 12, sebagai satu-satunya anak Mohamad Azim dan Nurul Hidayah yang masih hidup.

Awal hari ini media melaporkan penemuan mayat enam sekeluarga dalam kereta yang terjunam ke dalam Sungai Korok, Jitra. Mereka sebelum itu dilaporkan hilang sejak Sabtu.

Siasatan awal menunjukkan kenderaan itu mungkin terbabas dan terjunam ke dalam sungai ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Jerlun dari rumah saudara di Taman Seri Aman, Jitra.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top