BEIRUT: Jenazah Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah yang terkorban dalam serangan udara pada Jumaat lalu telah ditemui pada Sabtu dan sudah dikafankan semalam (Ahad) selepas dimandikan.
Menurut laporan Reuters yang memetik sumber, jenazah Nasrallah ditemui dalam keadaan utuh tanpa sebarang luka langsung.
Punca kematian dikatakan akibat kesan kekuatan letupan bom yang dilepaskan tentera Zionis Israel.
Dalam kenyataannya, Hizbullah telah mengesahkan kematian Nasrallah pada Sabtu tetapi tidak memberikan butiran tambahan tentang keadaan atau bila pengebumiannya akan diadakan, lapor pula Livemint.
Hizbullah juga setakat ini telah mengesahkan kematian sekurang-kurangnya tujuh pegawai berpangkat tinggi sejak beberapa hari lalu, termasuk Komander Kanan, Ali Karaki yang merupakan ketua barisan hadapan selatan kumpulan pejuang Islam Lubnan itu.
Perkembangan itu berlaku walaupun tentera Israel berkata ia telah menyerang ‘berpuluh-puluh’ sasaran baharu pada Ahad dan mengumumkan kematian seorang lagi pegawai tertinggi Hizbullah, Nabil Kaouk.
Pihak tentera Zionis sebelum ini juga mendakwa, lebih 20 anggota Hizbullah turut terkorban.
“Lebih 20 anggota Hizbullah yang berlainan pangkat yang hadir di ibu pejabat bawah tanah di Beirut yang terletak di bawah bangunan awam, dan sedang menguruskan operasi untuk menyerang Israel, turut terkorban dalam serangan pada Jumaat,” ujar tentera Zionis dalam satu kenyataan.
Tentera Israel dilaporkan menggunakan hampir 80 tan bahan letupan untuk menyasarkan kubu berkubu kuat yang terletak lebih 60 kaki (18.3 meter) di bawah tanah.
Terdahulu, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi mendedahkan bahawa tentera Zionis Israel telah menggunakan beberapa bom ‘bunker buster’ Amerika Syarikat ketika menyerang ibu negara Lubnan, Beirut pada malam Jumaat itu. -Agensi/– HARAKAHDAILY 30/9/2024









