Jenazah mangsa lemas kepala air Sungai Kenerong tiba di Kajang

Jenazah mangsa lemas kepala air Sungai Kenerong tiba di Kajang

am@hmetro.com.my

Kajang: Jenazah Allahyarham Abdul Hafidz Abdul Kudus yang ditemukan lemas di Sungai Kenerong, Dabong, Kelantan petang semalam tiba di Surau Al-Amin, Alam Sari, di sini kira-kira 8 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham bertolak dari Kelantan sekitar 2.30 pagi sebelum dibawa ke Alam Sari, lokasi kediaman arwah.

Suasana hiba menyelubungi Surau Al-Amin bagi memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham yang juga selaku Ketua Setiausaha Masjid Baiturrahman, Kajang.

Semalam, mangsa yang berusia 47 tahun itu bersama sembilan lagi rakannya pergi ke Sungai Kenerong untuk bermandi-manda sekitar 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Mazlan Mamat memaklumkan mangsa dikatakan turun terlebih dahulu bagi memeriksa kedalaman air.

Bagaimanapun, katanya, faktor arus deras menghanyutkan mangsa sebelum mayatnya kembali ditemukan pada 4.13 petang oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi SAR membabitkan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Balai Polis Dabong dan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Menurut Mazlan, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana lemas.

Jenazah Allahyarham disolatkan pada 10 pagi dan dibawa ke Tanah Perkuburan Bandar Baru Bangi, Sungai Tangkas untuk dikebumikan.

Allahyarham dikatakan menetap di Alam Sari kira-kira 15 tahun dan antara yang menjadi penggerak utama dalam proses pembinaan Masjid Baiturrahman yang dijangka siap tahun depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top