Bangi: Jenazah Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas di sini pada 6.10 petang.
Terdahulu, jenazah Muhammad Nur disolatkan di Masjid Al-Umm di sini yang disertai ahli keluarga, warga kerja IKIM, sahabat-handai serta orang ramai.
Sejurus selesai disolatkan, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas untuk dikebumikan.
Kira-kira 300 orang termasuk isteri Allahyarham, Datin Fauziah Amran, lima anaknya, cucu dan ahli keluarga turut hadir.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fawwaz Fadzil.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir di kediaman Allahyarham di sini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Muhammad Nur, 76, meninggal dunia pada 11.27 pagi tadi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Sementara itu, Zulkifli ketika ditemui media berkata pemergian Allahyarham yang pernah dipilih sebagai Ahli Kehormat Kesatuan Ulama Islam Sedunia, merupakan satu kehilangan besar kepada negara.
Beliau berkata Allahyarham bukan sahaja tokoh ulama yang berilmu tinggi malah dikenali sebagai seorang individu yang bersifat damai, berhikmah dan sentiasa meraikan perbezaan pandangan.
“Saya mengenali Allahyarham secara rapat kerana IKIM berada di bawah seliaan saya dan beliau terlibat secara langsung dalam pembangunan Kolej Darul Hikmah sebagai penaung.
“(Saya melihat) Allahyarham tiada musuh kerana setiap kali bicara, pandangan beliau memberikan satu tauladan yang sangat baik sebagai seorang ulama yang mempunyai akhlak yang baik, yang meraikan perbezaan dan dalam masa yang sama, sangat tegas dengan asas-asas tauhid,” katanya.
Muhammad Nur dilantik sebagai Pengerusi IKIM pada 8 Mei 2023 selain pernah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.
Allahyarham dikenang sebagai seorang tokoh keilmuan Islam dalam bidang dakwah dan pemikiran Islam.
Pada 18 Januari lalu, beliau dianugerahkan penghormatan tertinggi oleh Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) atas dedikasi, kepimpinan dan impaknya yang membawa perubahan besar kepada persatuan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd