Jenazah Pak Zain selamat dikebumikan

Jenazah Pak Zain selamat dikebumikan

Shah Alam: Penyanyi, Anuar Zain, meluahkan rasa syukur apabila segala urusan pengebumian bapanya, Allahyarham Zin Abdullah dipermudahkan.

Menurut Anuar, urusan selepas arwah menghembuskan nafas terakhir selesai dalam tempoh kurang lima jam.

“Alhamdulillah, segala urusan arwah dipermudahkan. Proses hanya mengambil masa di bawah lima jam. Saya bersyukur semuanya berjalan lancar.

Proses memandikan jenazah juga mudah dan cepat, malah pihak masjid turut menguruskan segalanya dengan baik.

“Kata orang, jika urusan mati seseorang dipermudahkan, itu bermakna orang itu sangat dikasihi Allah SWT,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Elmina, di sini.

Penyanyi lagu Sedetik Lebih itu turut memaklumkan, arwah bapanya sudah disahkan menghidap kanser sejak Disember tahun lalu.

“Arwah meninggal dunia di rumah dan disahkan pihak paramedik. Memang ayah ada menghidap kanser prostat yang kami tahu pada Disember lalu.

“Kanser itu sudah merebak. Sebelum ini arwah ada buat rawatan prostat tetapi tiada tanda-tanda serius.

“Cuma pagi semalam dia alami cirit-birit. Saya boleh katakan, pemergiannya sudah tiba masanya,” katanya.

Dalam masa sama, Anuar berkata, seluruh ahli keluarga reda dengan pemergian arwah yang sudah lama menderita sakit.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga menerima hal ini dengan tenang. Allah juga beri peluang kepada kami adik-beradik untuk menjaga arwah.

“Kami bergilir-gilir menjaganya. Saya tidak terkilan kerana semuanya dipermudahkan,” katanya.

Mengimbas momen terakhir bersama arwah, Anuar berkata dia sempat berada di rumah sebelum bapanya menghembuskan nafas terakhir, manakala adik-beradik lain turut memberi perhatian penuh sepanjang arwah sakit.

“Arwah selalu minta maaf sebab menyusahkan, tetapi sebenarnya tidak. Sejak dahulu lagi dia sangat berdikari.

“Bila lihat dia sakit, saya agak sedih. Namun kami lima beradik sempat menjaganya,” katanya.

Allahyarham Zin Abdullah atau Pak Zin menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di kediaman keluarganya di Subang Permai, Selangor, sekitar jam 2.50 petang.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Elmina kira-kira jam 7 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top