MACHANG: Jenazah pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Norhazwani Ibrahim, 35, yang ditemukan maut dipercayai ditikam suaminya di Kompleks Perumahan Awam dekat Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin, akan dibawa pulang ke Tumpat hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jenazah Allahyarham itu dibawa pulang melalui jalan darat dan dijangka tiba di Tumpat malam ini.
Katanya, ia selepas jenazah tersebut selesai menjalani bedah siasat pagi tadi.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Arwah meninggalkan dua orang anak berusia lima dan enam tahun yang dijaga oleh kakaknya. Setakat ini, suspek dalam kes tersebut merupakan suami kepada mangsa.
“Sebelum ini, suspek pernah dipenjara atas kesalahan dadah dan saya boleh sahkan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Kementerian Dalam Negeri di Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Lawar di sini, hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, tiga kesan tikaman ditemukan pada Norhazwani yang dipercayai dibunuh suaminya di sebuah unit kuarters kakitangan kerajaan di Nilai, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati mangsa mengalami dua kesan tikaman pada bahagian kiri perut dan satu lagi pada pipi kanan.-UTUSAN




