Jenazah penuntut UM, Ahmad Arif Zawir selamat dikebumikan

Jenazah penuntut UM, Ahmad Arif Zawir selamat dikebumikan

am@hmetro.com.my

Pasir Gudang: Jenazah penuntut Universiti Malaya (UM), Ahmad Arif Zawir Mohd Ali yang meninggal dunia akibat terjatuh bangunan kolej kediamannya semalam, selamat dikebumikan, lewat petang tadi.

Jenazah pemuda berusia 22 tahun itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah, Jalan Kong-Kong di sini, dan dihadiri lebih 100 ahli keluarga dan rakan.

Terdahulu, jenazah disolatkan di Surau Ad-Deeniah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 9.50 pagi, sebelum dibawa pulang untuk pengebumian dan tiba di Masai di sini pada 5.45 petang.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang mahasiswa UM maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan kolej kediaman di universiti itu, petang semalam.

Pihak universiti dalam kenyataan ringkas turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top