mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kajang: Jenazah pemuzik dan komposer terkenal tanah air era 1990-an, Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin Jamil, 63, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (Baru) Sungai Kantan, dekat sini, jam 3.50 petang tadi.
Jenazah sebelum itu dibawa dari Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang ke Surau Muhibbah, Taman Muhibbah untuk dimandi dan dikafankan serta disolatkan sebelum tiba di Tanah Perkuburan Islam (Baru) Sungai Kantan.
Bacaan talkin diketuai Imam Surau Muhibbah. Taman Muhibbah, Aliff Iskandar Mohd Asri.
Rakan-rakan arwah iaitu penghuni Rumah Seri Kenangan Cheras turut hadir mengiringi arwah.
Sepanjang tempoh ini tidak kelihatan langsung rakan-rakan penggiat industri termasuk penyanyi-penyanyi popular yang pernah menyanyikan lagu ciptaannya, hadir.
Begitu juga kelibat warisnya sedangkan mereka hadir ke Unit Forensik, Hospital Permaisuri Norashikin untuk proses tuntutan jenazah.
Allahyarham Ross bagaimanapun menerima penghormatan terakhir
daripada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang hadir ke unit forensik pada tengahari tadi.
Berita pemergian Ross dikongsikan oleh Fahmi dalam hantarannya di akaun Facebook milik beliau.
Sewaktu hayatnya, Allahyarham pernah menciptakan lagu penyanyi hebat tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aishah, Liza Aziz, Ning Baizura Jaclyn Victor dan Fauziah Latiff.
Lagu Kau dan Aku dendangan Ning Baizura pernah memenangi Anugerah Juara Lagu bagi kategori Pop Rock pada 1995 dan kekal popular hingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd