Jenazah Salleh Abas selamat dikebumikan

K.Terengganu: Jenazah bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, di sini pukul 10.40 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham Mohamed Salleh, 91, yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad tiba di tanah perkuburan tersebut pada pukul 10.15 pagi dan proses pengebumian dikendalikan kira-kira 10 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang lengkap berpakaian pelindung diri (PPE). Bagaimanapun, ahli keluarga dan pihak media tidak dibenarkan untuk berada di dalam kawasan perkuburan tersebut.

Menantu Allahyarham, Wan Pauzi Yahya berkata, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini Khamis lepas, setelah didapati positif Covid-19 dan disahkan meninggal dunia pada 3.20 pagi tadi, akibat pneumonia.

“Ketika berada di hospital, kami anak dan menantu masih dapat bercakap dengan Allahyarham dan beliau belum lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Kami juga diberitahu Allahyarham mempunyai masalah pernafasan, tekanan darah rendah dan pelbagai masalah lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan pengebumian, di sini hari ini. – M.Gazette

Malay News
National Desk