am@hmetro.com.my
Setiu: Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Jerangau-Jabor dekat Felda Jerangau, Dungun semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tong, di sini hari ini.
Terdahulu, jenazah Nurul Hafizah Shaary, 39, dan dua anaknya, Muhammad Redzuan Arash Mohamad Redzuan, 13, dan Nur Radya Athalia, 4, dibawa ke Masjid Ar Ridzuan, Sungai Tong untuk disembahyangkan selepas solat Asar.
Lebih 300 jemaah menunaikan solat jenazah yang diimamkan imam masjid berkenaan Ustaz Mohd Jalaluddin Al Fahmi.
Jenazah kemudian diiringi lebih 200 ahli keluarga, kenalan dan penduduk ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu apabila adik bongsu Allahyarhamah Nurul Hafizah iaitu Nurul Izzah yang melangsungkan perkahwinan, semalam tiba dari Kemaman dan gagal menahan sebak sebaik menatap wajah arwah kakak sulungnya.
Dalam kejadian semalam, tiga beranak itu bersama dua lagi anak Nurul Hafizah yang cedera, Nur Raesha Amanda, 14, dan Nur Rakhis Aral Mohamad Redzuan, 9, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis perkahwinan Nurul Izzah di Kampung Sura Tengah, Dungun.
Kenderaan dipandu wanita itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan dan merempuh paip air besar di tepi jalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




