mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jenazah bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tun Dr Mohamed Hashim Mohd Ali yang meninggal dunia hari ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Sungai Besi malam ini.
Jenazah tiba di tanah perkuburan itu jam 9.40 malam dengan upacara pengebumian dilaksanakan mengikut adat istiadat ketenteraan, termasuk istiadat penghormatan peringkat tertinggi sebelum disemadikan berdekatan pusara isterinya jam 10.30 malam ini.
Operasi Rampai turut diatur gerak sebagai tanda penghormatan tertinggi ATM terhadap PAT kesembilan itu.
Istiadat penghormatan terakhir itu turut disertai kepimpinan negara termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, PAT Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, barisan panglima perkhidmatan serta bekas PAT.
Terdahulu, lebih 500 orang termasuk waris, ahli keluarga, kenalan serta orang kenamaan hadir di Masjid Khalid Al Walid Kementerian Pertahanan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Mohamed Hashim yang meninggal dunia hari ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid
Khalid Al Walid Kementerian Pertahanan.
Allahyarham Mohamed Hashim menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di sini pada 11.52 pagi.
Mohamed Hashim yang dilahirkan di Ipoh, Perak antara anak tempatan yang mendapat latihan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom sebelum kembali ke tanah air dan ditauliahkan ke dalam kor Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1955.
Kerjayanya berkembang dengan memegang pelbagai jawatan penting termasuk Panglima Rajang Security Command (RASCOM), Panglima 2 Divisyen dan Panglima Tentera Darat sebelum dilantik sebagai PAT kesembilan dari 1987 sehingga 1992.
© New Straits Times Press (M) Bhd
