Jenazah Wan Suhaila selamat dikebumikan di Kampung Amer

Jenazah Wan Suhaila selamat dikebumikan di Kampung Amer

BESUT: Suasana hiba menyelubungi majlis pengebumian jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, yang terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah bas sewa khas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).

Jenazah Allahyarham tiba di kediaman keluarganya di Kampung Amer, Kampung Raja, di sini pada pukul 10.55 malam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Amer kira-kira 40 minit kemudian.

Sebelum itu, jenazah disolatkan buat kali kedua di Masjid Al-Mukhlisin, Kampung Amer yang dihadiri lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak-saudara, sahabat-handai serta penduduk setempat yang hadir memberi penghormatan terakhir.

Wan Nur Suhaila adalah antara 15 mangsa yang terkorban dalam nahas tragis itu. Jenazahnya bersama seorang lagi mangsa, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, antara yang terawal dihantar pulang dari Hospital Gerik, Perak ke kampung halaman masing-masing bagi urusan pengebumian.

Suasana pilu jelas terpancar pada wajah ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa yang tidak dapat menahan sebak ketika jenazah disemadikan. – UTUSAN

Scroll to Top