Jentera Ferrari Schumacher laku RM85 Juta

Jentera Ferrari Schumacher laku RM85 Juta

London: Sebuah kereta Formula Satu (F1) Ferrari yang pernah dipandu legenda Jerman, Michael Schumacher, ketika meraih kemenangan di Grand Prix (GP) Monaco dan Hungary 2001, berjaya dijual pada harga AS$18.17 juta (kira-kira RM85.6 juta) dalam satu lelongan oleh RM Sotheby’s.

Jualan itu berlangsung pada Sabtu lalu, beberapa jam sebelum sesi kelayakan GP Monaco, menjadikan kereta F2001 itu sebagai jentera F1 paling mahal pernah dipandu Schumacher yang dijual dalam sejarah lelongan.

Nilai jualan itu mengatasi rekod terdahulu iaitu AS$13.2 juta (RM62.2 juta) yang dibayar untuk Ferrari F2003 milik Schumacher pada tahun 2022.

Ia kini menjadi kereta F1 keempat paling mahal pernah dijual, di belakang rekod dunia AS$52.52 juta (RM247 juta) bagi sebuah Mercedes W196 Streamliner yang pernah dipandu Juan Manuel Fangio dan Stirling Moss pada era 1950-an.

Schumacher, kini berusia 56 tahun, memandu F2001 itu untuk kemenangan kelimanya di Monaco yang juga menjadi kemenangan terakhirnya di litar ikonik berkenaan sebelum mencatat kemenangan di Hungary yang memastikan gelaran dunia keempat dalam kariernya.

Kejayaan musim 2001 itu menjadi antara pencapaian paling gemilang dalam era dominasi Ferrari bersama Schumacher.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top