Jentera lebih tersusun beri kelebihan PN

Jentera lebih tersusun beri kelebihan PN

suzalina@bh.com.my

MUAR: Jentera parti Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan lebih kemas berbanding di Melaka, sekali gus diyakini mampu memberi kelebihan buat gabungan parti itu pada 12 Mac ini.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pihaknya mengharapkan jentera gabungan parti itu lebih mendekati pengundi kerana ada yang beranggapan sesetengah pemimpin dalam PN masih berada dengan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, pengalaman di PRN Melaka menunjukkan masih ada pengundi yang keliru dengan menyangka sesetengah calon PN bertanding atas tiket BN.

“Apa yang saya lihat, dari segi jentera dan semangat membabitkan BERSATU, PAS dan GERAKAN…kalau nak dibandingkan dengan Melaka, PRN Johor ini sangat kemas.

“Cuma kita kena teruskan kerja mendekati pengundi dan terangkan mengenai PN kita berkempen guna nama penuh Perikatan Nasional.

“Kalau tak pening nanti. Kena jelaskan kita Perikatan Nasional bukan BN dan bukan PH (Pakatan Harapan). Di Melaka, ada pemimpin yang turun di sana dan pengundi ingat dia masih di bawah BN,” katanya di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Simpang Jeram, di sini.

PN dan BN sama-sama berentap bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, manakala PH dan PKR di 50 kerusi, selain Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), 42 kerusi.

Saifuddin yang juga Menteri Luar berkata, PN tidak akan membubarkan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas 12 Mac ini.

Sebaliknya, katanya, IRDA iaitu badan yang bertanggungjawab ke atas hala tuju, dasar dan strategi berhubung pembangunan dalam Iskandar Malaysia akan ditadbir dengan cara lebih baik dan telus bagi mengelakkan rasuah serta ketirisan.

“Kita akan merancang pembangunan negeri Johor dengan cara lebih baik di mana wang yang dibelanjakan adalah betul-betul demi bangsa Johor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top