Kuala Lumpur: Harapan Malaysia untuk melangkah ke final acara kuadran lelaki Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2025 musnah selepas tewas 0-2 kepada Jepun di Songkhla, malam ini.
Skuad negara yang dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Norfaizzul Abd Razak dan Mohammad Azlan Alias tumpas 11-15, 13-15 dalam aksi separuh akhir yang sengit berlangsung di Dewan Hatyai, Pusat Beli-Belah Central Hatyai.
Dalam pada itu, skuad regu berpasukan lelaki mengekalkan rekod bersih dengan memenangi dua lagi perlawanan Kumpulan B sekali gus mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.
Malaysia menumpaskan Laos 3-0 pada saingan di sebelah pagi diikuti keputusan sama pada aksi terakhir kumpulan menentang Jepun.
Semalam, Malaysia membuka tirai saingan kumpulan dengan mengatasi Korea Selatan dan Myanmar, masing-masing menerusi keputusan 3-0.
© New Straits Times Press (M) Bhd