Jepun bahas RUU benar pasangan berkahwin kekal nama keluarga selepas 28 tahun

Jepun bahas RUU benar pasangan berkahwin kekal nama keluarga selepas 28 tahun

Tokyo: Parlimen Jepun pada Jumaat memulakan perbahasan pertama sejak 28 tahun lalu mengenai rang undang-undang yang akan membenarkan pasangan berkahwin mengekalkan nama keluarga masing-masing, lapor agensi berita Kyodo.

Sesi semasa Parlimen Jepun (Diet) yang akan berlangsung hingga lewat Jun dijangka tidak akan meluluskan mana-mana daripada tiga rang undang-undang berasingan yang dikemukakan oleh parti pembangkang, walaupun terdapat sokongan awam yang semakin meningkat untuk meminda undang-undang yang menetapkan pasangan perlu menggunakan satu nama keluarga sahaja.

Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah, dipimpin Perdana Menteri Shigeru Ishiba, menerajui kerajaan minoriti dan kekal berhati-hati terhadap perubahan tersebut.

Sebahagian anggota parti berpendapat bahawa membenarkan penggunaan nama keluarga berasingan boleh menjejaskan keharmonian keluarga dan nilai tradisional.

Pindaan terhadap Kanun Sivil adalah diperlukan bagi membolehkan pasangan mengekalkan nama keluarga masing-masing selepas berkahwin.

Pada masa ini, wanita lazimnya mengambil nama keluarga suami selepas berkahwin.

Parti Demokratik Berperlembagaan Jepun, yang lantang menyokong perubahan itu, mencadangkan agar pasangan diberi pilihan untuk mengekalkan nama keluarga sendiri atau mengambil nama pasangan.

Di bawah cadangan tersebut, pasangan mesti memutuskan nama keluarga yang akan digunakan oleh anak mereka.

Parti Demokratik untuk Rakyat turut mengemukakan rang undang-undang yang membenarkan nama keluarga berasingan, dengan mencadangkan bahawa anak akan secara automatik mengambil nama ketua isi rumah seperti yang didaftarkan dalam daftar keluarga.

Parti Inovasi Jepun pula mengekalkan prinsip satu nama keluarga bagi setiap isi rumah, tetapi cadangannya membenarkan individu menggunakan nama keluarga asal secara sah dengan menyatakannya dalam daftar keluarga.

Pada 1996, badan penasihat undang-undang Kementerian Kehakiman telah mengesyorkan agar pasangan dibenarkan mengekalkan nama keluarga masing-masing selepas berkahwin, dengan syarat anak-anak dalam keluarga itu menggunakan nama keluarga yang sama.

Setahun kemudian, parlimen membincangkan rang undang-undang yang dikemukakan oleh pembangkang untuk meminda Kanun Sivil bagi membolehkan sistem dua nama keluarga, namun tiada undang-undang diluluskan.

Sejak itu, Jepun hanya mencatatkan sedikit kemajuan dalam melaksanakan perubahan berkenaan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, gesaan untuk reformasi semakin meningkat, termasuk daripada pemimpin industri yang menyokong pilihan tersebut, dan sentimen awam juga semakin condong ke arah perubahan.

Tinjauan terbaru Kyodo News menunjukkan 71 peratus responden menyokong sistem nama keluarga berasingan, manakala 27 peratus menentangnya.

Ishiba mengakui perlunya perbincangan dalaman yang lebih mendalam dalam LDP, namun parti pemerintah itu masih belum mencapai kata sepakat menjelang pilihan raya Dewan Perwakilan akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top